“Saya hairan, nak kata saya ini pemalas, tidak. Nak kata saya ini bodoh, belajar sampai universiti. Nak kata saya ni hodoh, wajah macam selebriti. Nak kata saya tak kenal ramai orang, tidak juga. Ramai juga kenalan saya berpangkat, bergelar datuk. Bahkan ramai juga kenalan saya, merupakan usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya. Ada yang baharu berusia 35 tahun, sudah pun bergelar orang kaya. Punya pendapatan sebulan melebihi RM100 ribu, punya rumah enam biji dan sebagainya. Kenapa mereka boleh berjaya dan kenapa saya tidak?”
Demikianlah secebis rungutan seorang usahawan muda yang baharu berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan. Perniagaannya tidaklah begitu sukses, sekadar cukup-cukup makan sahaja. Ibarat kata pepatah, ‘bagai berumah di tepi aur’, salah sedikit bisa terjunam ke dalam sungai. Jenuh juga beliau mencari punca, dibuat muhasabah berulang-kali, tapi masih juga tidak ketemu jawapan yang dicari.
Sebagai teman baik, penulis merasa simpati dan jadi terpanggil memberikan input dan saran. Maklumlah, dalam 1000 patah perkataan yang terluah, andai 10 berhasil menjadi buah, itu pun sudah dikira bagus. Lagi pun, bersedekah tidak semestinya dengan harta. Memberikan pendapat dan nasihat juga boleh dianggap sedekah. Penulis pun mencelah.
“Saya ada kisah yang menarik, jika kamu mahu mendengarnya.” Demikianlah penulis memulakan. Beliau kelihatannya tertarik dan mula memasang telinga penuh harapan.
“Daripada pengamatan saya, ada tiga sebab menyebabkan rezeki menjadi sempit. Pertama, tidak memberikan sedikit rezekinya untuk dikongsikan dengan ibu bapa. Kedua, lokek untuk bersedekah. Ketiga, mengabaikan zakat.” Demikianlah tiga sebab yang penulis tuntaskan di hadapannya. Kemudian, izinkan penulis menerangkannya lebih lanjut.
Orang yang lokek dengan ibu bapa, sehingga menyebabkan kehidupan ibu bapanya menjadi sempit, maka amat wajar hidupnya dan rezekinya disempitkan Allah SWT. Ini kerana, Islam menggariskan bahawa ibu bapa itu menjadi sebahagian daripada kewajipan si anak untuk menafkahi mereka. Misalnya, jika mereka tiada makanan, maka diberikan makanan. Jika mereka tiada tempat tinggal, maka wajib disediakan. Jika tiada pakaian, wajib diberikan.
Bukankah reda kedua ibu bapa itu terlebih dahulu menjadi syarat untuk menjelmanya reda Allah SWT dan Rasul? Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW menegaskan: “Reda Allah bergantung kepada reda ibu dan bapa; dan murka Allah bergantung kepada murka kedua ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Penulis menyatakan: “Ada seorang anak yang saban bulan memberikan elaun sebanyak RM500 kepada ibu bapanya. Apabila si anak itu membeli sebuah rumah, dia memberitahu kepada ibu bapanya, bahawa dia tidak lagi mampu memberikan RM500 sebulan dan hanya mampu memberikan RM200 sebulan. Ibu bapanya tidak membantah. Mulai bulan berikutnya, si anak hanya memberikan RM200 sebulan. Namun, perkiraannya bahawa dengan mengurangkan pemberian kepada ibu bapanya dapat melegakan perbelanjaan bulanannya tidak pula menjadi nyata. Apa yang nyata, dia merasa kesempitan dan ketidak cukupan. Akhirnya, dia kembali memberikan RM500 kepada ibu bapanya. “
Ingatlah, bukan kita yang menentukan cukup atau tidak sebuah pendapatan. Semuanya tergantung kepada Allah SWT, Tuhan yang menurunkan rezeki dan Tuhan yang mampu menghalangi.
Kisah kedua pula: “Seorang usahawan telah berjaya dan menjadi kaya. Namun, dalam sekelip mata perniagannya merudum. Dia menjadi kelam-kabut. Satu projek pun tidak sangkut. Dalam keluh-kesah dilanda kemelut, dia membawa dirinya ke sebuah kawasan sunyi. Dia mahu merenung diri. Akhirnya, atas kehendak Allah SWT, seorang teman berjaya menjejakinya dan mengajak si lelaki menemui seorang ustaz. Atas nasihat si ustaz, lelaki yang sudah hampir muflis itu mulai menyedekahkan saki-baki hartanya. Dia mencari anak-anak yatim dan memberikan mereka makan. Atas kehendak Allah SWT juga, minggu hadapannya si lelaki itu menerima panggilan telefon. Dia diberikan projek bernilai RM100 ribu, tanpa perlu masuk tender walaupun satu. Dua minggu berikutnya, dia diberikan sekali lagi sebuah projek bernilai dua kali ganda. Mulai saat itu, si lelaki berkenaan terus istiqamah bersedekah.”
Ini pula kisah ketiga: “Seorang lelaki cina, dia belum Islam. Namun, saban tahun si cina ini menemui seorang ustaz untuk memberikan zakat. Si ustaz awalnya merasa pelik, bagaimana mungkin si non muslim mahu berzakat. Lelaki cina itu berkeras, dia mendakwa, semuanya gara-gara dia terdengar sebuah ceramah dari sebuah masjid. Dalam ceramah itu, Allah SWT menjamin rezeki dan harta orang yang berzakat. Sejak itu, dia pun mulai memberikan zakat hartanya. Hasilnya, perniagaannya terus berkembang. Atas sebab itulah, dia akan memastikan zakat hartanya akan tetap ditunaikan.”
Inilah kisah-kisah yang penulis titipkan lewat perbicaraan dari hati ke hati bersama si usahawan muda yang tidak begitu menjadi perniagaannya. Kesimpulannya amat mudah, dengar, percaya dan beramal. Itu sahaja. Islam bukan agama teori; tetapi agama amali. Jika si cina non-muslim itu pun meyakininya; maka apa lagi alasan kita untuk meragui. Ingat, pepatah Melayu pun ada berkias: ‘Bukit Tinggi boleh didaki, Lurah dalam berkala-kala; Penat kaki boleh berhenti, Berat beban siapa membawa’. Wallahua’lam.