Ketahui 6 Waktu Paling Mustajab Untuk Berdoa

Sungguh indah keajaiban doa. Berbisik di lantai tika bersujud, namun dapat didengari sampai ke langit. Kita diberi kelebihan doa sebagai tempat meminta apa yang sering dihajati di dalam hati. Dan sesungguhnya Allah saja yang tahu apa yang terkandung di dalam hati kita dan Dia jualah yang menentukan perkara terbaik untuk kita.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu percaya dan bersangka baik kepada Allah dengan segala ketentuan dan rezeki yang dilimpahkan. Waktu mustajab yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambaNya perlu dimanfaatkan dengan taat agar segala cita-cita yang dihajati termakbul.

1. WAKTU ANTARA AZAN DAN IQAMAH
Apabila terdengar azan berkumandang, segeralah membersihkan diri untuk bersiap menghadap Yang Maha Esa. Allah amat menyenangi hambaNya yang meninggalkan segala hal keduniaan dan mematuhi seruan dariNya sejurus tiba waktu.

Ketika azan berkumandang, pintu langit terbuka dan doa mudah dimakbulkan bagi hamba yang taat. Allah turut mengurniakan waktu istimewa untuk hambaNya yang berdoa pada awal waktu solat iaitu antara azan dan laungan iqamah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Doa di antara azan dan iqamah tidak tertolak” (Hadis Riwayat At Tirmidzi dan Abu Daud).

2. SEMASA HUJAN TURUN
Waktu hujan turun membasahi bumi bukan sahaja dapat menyirami tumbuhan dan menyejukkan bumi yang kering. Waktu ini juga Allah cipta untuk hambaNya berdoa supaya dapat dikabulkan.

Hujan yang turun turut disertai dengan rezeki dan rahmat bagi hambaNya yang taat dan tidak putus-putus berdoa. Satu hadis sahih membuktikan bahawa waktu tersebut doa mudah dimakbulkan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Doa tidak tertolak pada 2 waktu, iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun.” (Hadis Riwayat Al Hakim)

3. 2 WAKTU PADA HARI JUMAAT
Hari Jumaat adalah hari yang istimewa di sisi Allah. Hari yang juga dikenali sebagai ‘Sayyidul Ayyam’ atau penghulu segala hari merupakan hari yang diwajibkan untuk mengerjakan Solat Jumaat bagi lelaki dan amalan sunat seperti membaca Surah Al-Kahfi serta memperbanyakan zikir-zikir lain.

Rasulullah SAW pernah membicarakan tentang hari Jumaat dalam sebuah hadis sahih di mana Baginda bersabda:

“Hari Jumaat ada 12 jam yang mana tiada seorang hamba muslim berdoa padanya kecuali akan diberikan (dimakbulkan), maka carilah ia di hujung waktu selepas Asar.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Selain itu, satu lagi waktu yang patut dianggap mustajab oleh para ulama’ adalah ketika waktu imam duduk di mimbar sehingga solat Jumaat selesai.

Daripada Abu Burdah bin Abu Musa al-Asy ‘ari RA katanya bahawa Abdullah bin Umar RA berkata : Adakah engkau pernah mendengar ayahmu menceritakan tentang Rasulullah SAW melakukan solat Jumaat? Lalu Abu Burdah menjawab, “Ya” aku pernah mendengar ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Masa yang paling mustajab itu ialah ketika bermulanya duduk imam di atas mimbar sehinggalah selesai solat Jumaat”.(Hadis Riwayat Muslim)

4. SEPERTIGA TERAKHIR MALAM
Melakukan solat sunat tengah malam dan mengorbankan waktu tidur bukanlah perkara yang mudah dengan komitmen yang dipikul saban hari. Namun, kekuatan doa pada solat tahajud ini adalah ibarat panah yang tepat pada sasaran.

Pada ketika sepertiga terakhir malam, Allah memberkati hamba-hambanya dengan turun ke langit dunia dan mengkabulkan hajat yang terbuku di hati mereka. Junjungan besar Rasulullah s.a.w juga turut mengamalkan serta menggalakkan umat Islam keseluruhannya untuk menggunakan waktu ini sebaik-baiknya untuk beribadat dan berdoa kepada Allah.

Dari Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah SAW bersabda,

“Di malam hari terdapat suatu waktu yang tidaklah seorang muslim memanjatkan doa pada Allah berkaitan dengan dunia dan akhiratnya bertepatan dengan waktu tersebut melainkan Allah akan memberikan apa yang ia minta. Hal ini berlaku setiap malamnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

5. HARI ARAFAH PADA MUSIM HAJI
Amat bertuahlah bagi hamba Allah yang berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah Al Mukarramah lebih-lebih lagi pada musim haji.

Pada Hari Arafah, jemaah haji yang berada di Arafah tidak berhenti beristighfar, berdoa dan beribadah sehingga terbenam matahari. Umat Islam yang lainnya juga perlu menggunakan waktu mustajab ini sebaiknya untuk berdoa supaya mendapat keredhaan dan keampunan Allah serta hajat yang lainnya.

Sabda Rasulullah SAW “Doa yang terbaik adalah doa ketika hari Arafah” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).

6. KETIKA WAKTU SAHUR DAN BERBUKA PUASA
Ibadah puasa merupakan benteng untuk menahan nafsu serta menjadikan mukmin lebih tawadhuk dengan merasakan keperitan orang yang sering berlapar. Selain kelebihannya pada aspek kesihatan, orang yang berpuasa juga mempunyai kelebihan yang lain seperti dapat dimakbulkan doa yang diminta pada Allah pada dua waktu utama iaitu ketika bersahur dan berbuka.

Sesuai dengan hadis yang dikemukakan tentang keajaiban waktu terakhir sepertiga malam, waktu sahur juga tergolong dalam waktu mustajab itu. Oleh itu banyakkan berdoa dan berzikir sambil bersahur sehingga masuknya waktu solat fardhu Subuh. Setelah penat seharian berpuasa, Allah mengurniakan satu lagi waktu mustajab untuk orang berpuasa memanjatkan doa kepadaNya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doanya pemimpin yang adil dan doanya orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi)

JANGAN PERNAH BERPUTUS ASA BERDOA KEPADA ALLAH
Berdoa pada waktu-waktu mustajab merupakan cara kita berusaha untuk mendapatkan keredhaan serta kejayaan dunia dan akhirat dari Ilahi. Di samping itu, rajinlah juga berdoa kepada Allah pada setiap masa, tanpa hanya menunggu waktu-waktu yang disebutkan di atas ini kerana Allah Maha Mendengar dan Maha Mengasihi setiap hambaNya.

Semoga amalan kita yang berterusan dapat diterima di sisi Allah dan dapat mempersiapkan diri kembali bertemu denganNya dengan timbangan amal yang cukup.

Sumber: siraplimau