Untuk Peminat Masakan Daging, Boleh Cuba Resepi Kambing Peratal

Pernah cuba menu masakan kambing peratal? Memang sangat sedap dan cara nak masaknya pun mudah saja.

Resepi yang dikongsi Michelle Shamila ini, sangat sesuai dimakan dengan nasi putih yang panas-panas ataupun jadi kuah untuk dicicah dengan lempeng/roti.

KAMBING PERATAL

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg daging kambing | potong kecil
  • 2 biji bawang merah | hiris
  • 7 biji bawang putih
  • 7 cm halia
  • 5 biji ubi kentang | potong dadu
  • 1 biji tomato | potong dadu
  • 2 sudu kecil jintan manis
  • 1 batang kayu manis
  • 5 biji bunga lawang
  • 3 biji cengkih
  • 5 tangkai daun kari
  • 4 sudu besar serbuk kari daging
  • 5 sudu besar serbuk cili biasa
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • Air
  • Garam
  • Gula

CARA MASAK:

1. Guna periuk tekanan/didih di atas periuk biasa. Rebus daging kambing (isi dan tulang) bersama 2 cm halia (tumbuk) masukkan ke dalam dan masak sampai 3/4 masak untuk lembutkan daging dan kurangkan bau.

2. Tumbuk jintan manis, bawang putih dan halia. Ketepikan.

3. Panaskan kuali, tuang minyak, lebihkan minyak untuk kacau bahan-bahan.

4. Masukkan kayu manis, bunga lawang, cengkih, bawang merah tumis sampai keperangan dan masukkan daun kari.

5. Masukkan bahan-bahan yang sudah ditumbuk, tumis sampai keperangan.

6. Masukkan daging kambing yang ¾ sudah masak ke dalam kuali dan kacau seketika.

7. Bubuh serbuk kari daging dan cili biasa ke dalam dan kacau sampai sebati.

8. Tuang air secukupnya, cukup untuk tutup daging kambing saja. Kemudian masukkan ubi kentang ke dalam dan kacau.

9. Biar ubi kentang masak, kacau sekali sekala. Bubuh garam dan gula secukupnya.

10. Bila ubi kentang dah masak, pastikan untuk cucuk daging kambing, guna garpu untuk cek dah lembut ke belum.

11. Tuang sos tomato dan kicap pekat. Kacau daging kambing sampai air surut ke tahap kuahnya menjadi pekat.

12. Masukkan tomato dan daun kari ke dalam, kacau seketika dan tutup api. Hidang dengan nasi atau roti kegemaran anda.

Sumber: Michelle Shamila via rasa