Resepi Mee Hailam Special Paling Mudah. Sedap Macam Kat Kedai!

“Teringin pulak nak makan mee hailam. Kat mana nak cari mee hailam yang sedap agaknya ye…”

Mee hailam sedap ialah mee yang mempunyai kuah yang banyak. Amat jarang kita merasai mee hailam yang betul-betul sedap kerana banyak kedai yang tidak menyediakannya.

Selalunya kita jumpa mee hailam ni pun dekat foodcourt atau restoran tertentu saja. Sebenarnya, tak susah pun nak buat mee hailam sendiri kat rumah tau.

Kalau buat open house pun boleh buat mee hailam ni sebab bahan-bahannya senang sangat dan tak banyak karenah.

Bagi mak-mak yang balik kerja tak tahu nak masak apa, dan tekak tu rasa tak mahu makan nasi boleh la cuba resipi mee hailam simple tapi sedap oleh Puan Hasniza Hassan ni. Sangat istimewa dan rasa sedapnya memang lain dari biasa.

Jom ikuti resipi lengkap Mee Hailam special ni di bawah.

RESIPI MEE HAILAM YANG SEDAP & ISTIMEWA

BAHAN-BAHAN:

  • 1 hingga 1 1/2 peket mi
  • 11 ulas bawang putih dikisar/ tumbuk
  • 1 sudu besar biji lada hitam ditumbuk kasar
  • Daging yang dipotong kecil-kecil (kalau rebus dulu lagi senang dan cepat)
  • 1 mangkuk stok air udang, kalau ada
  • 15 ekor udang (terpulang nak banyak mana)
  • 4 ekor sotong yang dihiris (terpulang juga)
  • 1 biji tomato dibelah 2
  • 1-2 biji cili merah dipotong
  • Kobis dihiris dan sawi dipotong
  • Kicap masin, kicap manis dan sos tiram secukup rasa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1-2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air

CARA PENYEDIAAN:

1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta lada hitam.

2. Tumis sehingga wangi dan kekuningan.

3. Kemudian, masukkan daging dan tambahkan air.

4. Selepas itu,boleh masukkan air rebusan kulit udang jika ada dan biarkan mendidih untuk daging empuk.

5. Tambahkan kicap manis, kicap masin dan sos tiram secukup rasa.

6. Masukkan udang dan sotong tetapi jangan biarkan terlalu lama.

7. Lalu, masukkan hirisan cili dan tomato serta garam dan gula secukup rasa.

8. Masukkan hirisan kobis dan masak seketika.

9. Apabila kuah sudah mendidih, masukkan sawi dan bancuhan tepung jagung untuk pekatkan kuah.

10. Gaul semua bahan sehingga rata.

11. Akhir sekali, masukkan mi dan gaul rata.

12. Ok. Dah siap.

13. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat Mencuba!

Kredit Resipi & Foto: Hasniza Hassan