Resepi Kuih Penyaram Guna Sukatan Cawan, Ini Tips Hasilkan Kuih Yang Cantik!

Jangan tertukar ya di antara kuih penyaram dan kuih peneram. Bukan sahaja nama yang hampir serupa, malah warna dan rasa juga hampir sama kerana kedua-dua kuih ini berasaskan gula merah.

Namun begitu, rupa dan bentuk kedua-dua kuih ini jauh berbeza. Selain itu, yang membezakannya juga adalah bahan santan yang digunakan dalam resepi kuih penyaram.

Kalau perasan, kuih ini cantik bentuknya dan licin berkilat kan? Bukan mudah untuk menghasilkan sebegitu rupa. Ada tipsnya yang perlu diikuti barulah hasilnya cantik.

Jika ada yang nak cuba buat sendiri di rumah, boleh lihat resepi hasil perkongsian dari Norhamah Said di bawah. Selamat mencuba!

CARA BUAT KUIH PENYARAM

Untuk gula merah, sebelum masukkan dalam adunan perlu masak atas dapur dengan sedikit air sehingga gula larut. Untuk elakkan berketul dan lebih mudah sebati dengan adunan.

Bahan Yang Diperlukan:

  • 1 cawan gula merah (masak dengan sedikit air sehingga larut)
  • 1 bungkus tepung beras
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan gula putih
  • 100 ml santan
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng

Cara Penyediaannya:

1. Sediakan bekas yang sesuai untuk adunan.

2. Satukan tepung beras, tepung gandu, gula putoh dan santan ke dalam bekas. Gaul sebati.

3. Masak gula merah atas dapur sehingga larut sepenuhnya, sejukkan sebentar.

4. Kemudian masukkan dalam adunan tadi dan gaul sebati.

5. Masukkan air sedikit demi sedikit ke dalam adunan dan gaul sehingga sebati serta tak berketul.

6. Pastikan adunan tidak terlalu cair.

7. Jika mahu hasilkan kuih yang cantik, buat bancuhan pada waktu malam dan simpan dalam peti sejuk.

8. Esoknya, panaskan minyak dalam kuali dan sedia untuk digoreng.

9. Cara menggorengnya, sendukkan adunan guna senduk bulat dan tuang ke atas kuali secara menegak dan perlahan-lahan.

10. Biarkan adunan turun ke dalam minyak sikit-sikit sehingga adunan tu membulat sendiri dalam kuali.

11. Dan kemudian boleh balikkan.

12. Bila dah garing dan warna menjadi coklat gelap, boleh angkat dan toskan.

13. Siap. Sedia untuk dihidangkan.

Tips:
Jika kuih tak kembang semasa menggoreng, tambah sedikit gula (1-2 sudu makan) dalam adunan dan kacau sebati.
Bancuhan jangan terlalu cair atau terlampau pekat.

Kredit: Norhamah Said Via Myresipi