Gulai kuning ni ada macam-macam stail, yang ini pula Gulai Ikan Tongkol Stail Kelantan. Boleh jadi hidangan nasi berlauk untuk pagi dan juga tengah hari, memang sedap.
Hidang pula dengan sambal belacan, ikan rebus cicah dengan budu, ulam dan timun. ‘Sedak dooh’ bak kata orang Kelantan.
Kalau ada orang yang dari negeri lain nak cuba, boleh ikuti perkongsian dari Azizah Daud di bawah.
Cara Buat Gulai Ikan Tongkol Stail Kelantan
Bahan-Bahan:
- 1 ekor ikan tongkol sederhana besar
- 1/2 kilo santan pekat
- Cili merah hijau dan cili padi
Bahan Kisar:
- 10 biji cili kering
- 2 biji bawang merah besar
- 2 ulas bawang putih
- 2 cm lengkuas
- 3 cm kunyit hidup
Cara-Cara Penyediaannya:
1. Rebus ikan tongkol dengan asam keping, masukkan juga garam dan gula secukup rasa.
2. Campur santan pekat dengan 5 gelas air, rebus hingga mendidih (masukkan piring atau sudu dalam gulai supaya tidak meruap).
3. Simpan 1/2 gelas santan tadi untuk mengisar bahan kisar, jadi tak perlu masuk air masa nak kisar. Supaya gulai tak bergentel, nanti kuah tak cantik.
4. Apabila santan tadi dah mendidih dan naik minyak, masukkan pula bahan kisar dan kacau rata. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
5. Biarkan gulai mereneh, kemudian masukkan ikan yang dah direbus tadi bersama air ikan. Biar mereneh lagi sehingga naik minyak dan berkilat.
6. Masuk cili besar dan cili padi. Makin lama gulai direneh, makin cantik hasil kuahnya.
Kredit: Azizah Daud