Muliakan Ibu Seperti Raja Akan Menjadi Punca Pintu Rezeki Terbuka Luas, Ini 11 Tip Gembirakan Si Ibu.

Berlemah lembut, tolong menolong dan berbudi bahasa adalah antara tanggungjawab seorang anak kepada setiap ibu bapanya. Malangnya, adab-adab dan sikap inilah yang semakin terhakis dalam kehidupan anak-anak sekarang. Bukan sahaja remaja, malah yang dewasa juga tidak lagi menghormati ibu bapa yang semakin tua dan tidak berdaya. Jelas sekali ini bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam.

Allah telah memerintahkan manusia supaya sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mengucapkan kata-kata yang mulia kepada mereka (surah al-Israa’, ayat 23). Seorang anak dilarang mengatakan ‘Ah!’ apatah lagi menyakiti hati dan menderhakai mereka.

Jadi mari kita mula mengembirakan hati ibu bapa kita dengan beberapa tip ini.

  1. Mendengar Dan Menerima Nasihat Ibu Bapa

Seseorang anak yang baik dan mengharapkan keredaan ibu bapanya pasti sangat mendengar kata-kata atau nasihat mereka bahkan tidak mengingkari serta meremehkan permintaan dan arahan mereka. Adalah suatu kegembiraan bagi ibu bapa sekiranya anak-anaknya sentiasa mendengar arahan serta tidak membelakangi mereka.

  • Bercakap Dengan Lemah Lembut Dan Tidak Berkeras

Bercakap baik dengan penuh sopan, lemah lembut dan tidak kasar bukan sahaja mengembirakan ibu bapa, malah melegakan hati serta sentiasa membuat ibu bapa merahmati anaknya itu. Malah berbicara dengan baik kepada mereka juga adalah tuntutan agama terhadap semua anak.

  • Mendoakaan Ibu Bapa

Jangan sesekali lupa untuk mendoakan mereka. Doakanlah agar mereka sentiasa diberkati, dirahmati Allah selalu dan sentiasa sihat sejahtera. Anak yang baik adalah anak yang sentiasa ingat akan ibu ayah mereka dalam doanya.

  • Memberikan Hadiah Dan Buah Tangan

Ibu bapa tidak sesekali mengharapkan apa-apa pemberian daripada anaknya. Apatah lagi wang ringgit. Namun sebagai anak yang cuba menjadi baik, beri atau belilah apa-apa pemberian kepada mereka. Bahkan sudah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk menyediakan wang bulanan kepada mereka sekiranya mampu.

  • Melakukan Suruhan Dan Permintaan Mereka

Anak yang taat adalah yang sentiasa melakukan apa-apa saja permintaan dan suruhan ibu bapa mereka selagi ianya tidak menyalahi syariat dan undang-undang. Sangat mengembirakan jika mereka mendapati anak mereka sangat mentaati mereka. Walaupun kadang-kadang kita juga mempunyai kehendak dan pendapat sendiri, tetapi dahulukanlah permintaan mereka kerana itulah kebahagiaan mereka.

Siapa lagi yang akan menunaikan permintaan mereka jika bukan anak kandung sendiri?

  • Hubungi Atau Melawat Mereka Jika Berjauhan

Sekiranya boleh, tinggallah bersama-sama dengan ibu bapa, ataupun keraplah pulang menjenguk mereka untuk mengetahui keadaan mereka. Dengan selalu melawat mereka kita akan sentiasa mengetahui tahap kesihatan mereka dan keadaan semasa mereka. Selain itu, keraplah menghubungi mereka melalu telefon atau sebagainya. Ini juga adalah cara untuk mengeratkan lagi hubungan kita dengan ibu bapa, bahkan anak-anak kita dengan datuk dan neneknya.

Anak yang baik sudah tentu tidak akan meninggalkan ibu bapanya berlama-lamaan tanpa apa-apa berita.

  • Membawa Mereka Bersiar

Sekiranya berkemampuan dari aspek wang dan masa, bawalah ibu dan bapa berjalan-jalan, bercuti ataupun bersiar-siar ke mana-mana tempat yang mereka sukai.

Mereka sudah letih menjaga dan membesarkan kita, dan inilah masanya untuk kita membalas budi dengan memberi mereka rehat yang secukupkanya. Jika lebih mampu, hantarlah ibu bapa kita menunaikan haji atau umrah, itulah hadiah terbesar anak-anak yang wajar diberikan kepada ibu bapa.

  • Menjaga Mereka Sewaktu Tidak Sihat

Anak adalah harta bagi ibu bapa, anak juga permata, bahkan anak-anak adalah segalanya. Di waktu sihat anak adalah peneman, begitu juga di waktu sakit anak adalah penjaga.

Sebagai anak yang baik, sudah pasti akan berada di sisi ibu apanya untuk menjaga, merawat dan menemani ibu atau bapanya yang sakit itu. Hal itu sangat menyenangkan bagi mereka walau dalam keadaan tidak sihat sepenuhnya. Sebenarnya itulah ubat yang terbaik.

  • Membelikan Barangan Kesukaan Mereka

Ibu bapa ada kalanya mempunyai keinginan dan kehendak sendiri yang adakalanya tidak mampu dibeli oleh mereka. Dapatkanlah barangan kesukaan mereka itu walaupun tidak diminta. Pasti mereka akan suka dan gembira.

  1. Menghormati Rakan-Rakan Mereka

Rakan-rakan ibu bapa juga mestilah dihormati dan dihargai. Ini kerana mereka juga sebahagian daripada kesenangan ibu bapa kita. Sekiranya kita berbuat baik dan menghormati mereka, pastilah ibu bapa kita juga gembira dan berasa senang hati.

  1. Tidak Melakukan Hal Yang Tidak Disukai Mereka

Melakukan hal yang tidak disukai mereka adalah hal yang mengecewakan mereka. Ibu bapa selalunya akan marah pada anak-anak sekiranya melakukan hal yang tidak baik dan tidak berfaedah seperti mengambil najis dadah, bergaduh, mencuri atau sebagainya. Jadi elaklah terlibat dalam hal yang mengecewakan ibu bapa dan gembirakanlah hati mereka. Oleh itu, kegembiraan ibu bapa adalah kegembiraan kita juga, lakukanlah apa-apa juga demi menyenangkan hati mereka.