Mi Rebus, Kuah Keledek & Kentang Pekat Lagi Menyelerakan

Katanya, mi rebus ini adalah hidangan terkenal di daerah selatan tanah air. Mana lagi kalau bukan Johor. Kuah keledek dan kentang menjadikan mi ini berbeza dengan mi lain.

Mi rebus adalah salah satu jenis masakan mi yang sangat sedap. Rasanya memang sedap dan bercita rasa. Kuahnya pekat kerana ada keledek dan kentang. Ditambah pula dengan keenakan pedas-pedas cili potong.

Kalau dimasak dengan air rebusan daging lagi sedap. Ditambah pula ada lemak tetel. Wow sungguh. Melalui facebook, SuiSan Aliezsha berkongsi resepi mi rebus. Namun beliau menggunakan ayam.

MI REBUS

BAHAN MI

  • 1 peket mi kuning (rebus sekejap dan toskan)
  • 2 keping tauhu (goreng dan potong kecil)
  • Daun sup (basuh dan hiris halus)
  • Cili besar hijau
  • Cili besar merah (jika suka)
  • Bawang goreng
  • Limau kasturi
  • Telur ayam (direbus dan dibelah)
  • Dada ayam (goreng dan dicarik. Boleh juga guna daging. Lebih sedap. Simpan airnya)

BAHAN KUAH

  • 4 tangkai cili kering
  • 2 ulas bawang putih
  • 5 ulas bawang merah kecil
  • 2 cm halia
  • 1 biji keledek oren
  • 2 biji kentang
  • 1 sudu besar udang kering
  • Minyak masak untuk menumis
  • 1 sudu besar serbuk kari daging
  • 1 sudu besar tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)
  • Garam secukup rasa

CARA MEMBUAT KUAH

1. Cili kering, bawang putih, bawang merah dan halia dikisar halus. Ketepikan.

2. Rebus keledek oren dan kentang. Toskan dan kiasar halus. Ketepikan.

3. Kisar udang kering. Ketepikan.

4. Panaskan minyak masak. Tumiskan cili kering, bawang putih, bawang merah dan halia yang telah dikisar tadi.

5. Masukkan serbuk kari. Tumis lagi.

6. Masukkan air rebusan dada ayam. Biarkan mendidih.

7. Masukkan keledek oren dan kentang, udang kering dan biarkan mendidih.

8. Masukkan tepung jagung yang telah dibancuh dan garam. Biarkan mendidih, matikan api.

9. Letakkan mi, tahu, taugeh, daun sup, bawang goreng, telur rebus, cili potong dan ayam dalam mangkuk.

10. Siap. Jom makan!

Sumber: SuiSan Aliezsha Via Rasa