Seri muka merupakan sejenis kuih talam yang amat digemari sejak turun temurun. Ia diperbuat menggunakan pulut di bahagian dasarnya manakala kastad pandan dibahagian atasnya.
Gabungan lemak manis pulut dan kastad pandan itu digemari oleh ramai rakyat Malaysia. Ianya juga merupakan kuih talam yang amat popular tau!
Selalunya, seri muka dihidangkan pada minum petang ataupun sarapan pagi. Ianya juga sedap dihidangkan bersama air teh o panas.
Kali ini perkongsian kita akan membawa kepada anda resepi ini menggunakan sukatan cawan yang amat mudah dan sesuai untuk semua orang.
Resipi ini lebih mesra amatur kerana sudah pasti, cawan lebih mudah untuk disukat. Sesuai untuk dihidangkan dari 2 ke 4 orang.
Jom ikuti resipi perkongsian dari Dapur KAK CHAH ini.
Resipi Seri Muka Guna Sukatan Cawan
Bahan Lapisan Bawah (Pulut):
- 1 cawan beras pulut (rendam selama 1 jam)
- 1/2 cawan santan cair
- Daun pandan 2 helai (disimpulkan)
- Secubit garam
Bahan Lapisan Atas (Warna Hijau)
- 1 setengah cawan santan pekat
- Sebiji telur
- Secubit garam
- Setengah cawan tepung gandum
- Setengah sudu makan tepung kastard
- Setengah cawan gula
- 5 helai daun pandan
- Esen vanilla 1sudu kecil (optional)
- Sedikit dan secukup pewarna hijau
Cara Penyediaan Lapisan Bawah:
1. Tos beras yang telah direndam selama satu jam.
2. Masukkan santan serta secubit garam dan gaul sehingga sebati.
3. Masukkan ke dalam bekas atau loyang alas plastik sekiranya mahu dan masuk daun pandan simpul.
4. Kukus selama 30 minit.
* Sementara menunggu bahagian bawah masak, boleh sambung buat bahagian atas.
Cara Penyediaan Lapisan Atas:
1. Kisarkan daun pandan dengan sedikit santan dari sukatan 1 setengah cawan santan tadi, kemudian tapis dan ambil jusnya sahaja. Hampas boleh dibuang.
2. Campur jus pandan dengan santan yang sedia ada dari sukatan 1 setengah cawan santan tadi. Pastikan ukuran santan dicampur jus pandan tadi tetap 1 setengah cawan tepat.
3. Satukan bahan lain dan santan bersama jus pandan tadi. Kacau rata dan sebati sehingga tidak berketul. Masuk ke dalam kuali.
4. Buka api perlahan dan masak sekejap sambil kacau sehingga bahagian dalam periuk panas.
* Jangan sampai menggelegak – ini petua bagi bahagian atas cantik dan licin sahaja, pastikan adunan masih suam bila hendak diletakkan di atas pulut sebelum kukus.
5. Bila sudah masak, angkat pulut tekan dan garis-gariskan garfu supaya bahagian hijau dan pulut melekat.
6. Kukus dengan api sederhana selama 5 – 10 minit atau sehingga masak.
* Pastikan korang periksa bahagian lapisan hijau dengan lidi. Sekiranya masih basah, tambahkan masa kukusan dan kawal api supaya sentiasa sederhana. Rajinkan membuang air dari penutup kukusan.
Semoga bermanfaat!
Kredit: Dapur KAK CHAH Via myresepi.com