Adakah Ketam Nipah Halal Dimakan Umat Islam? Dengar Penjelasan Ustaz Azhar Idrus Ini
Adakah Ketam Nipah Halal Dimakan Umat Islam?
Hendak memastikan Ketam nipah atau mud crab adalah makanan Halal jika disediakan dengan proses Halal.Jawapan:
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera, Panel sertakan jawapan yang telah disediakan oleh pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan dengan hukum makan ketam nipah.
Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: Dan Allah menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.
Surah al-A’raf, 7:157
Firman Allah SWT:
كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ
Maksudnya: “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”
(Surah al-Baqarah, 2:57)
Dalam satu kaedah fiqh ada disebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu perkara ialah keharusan sehingga ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman.
Rujuk al-Suyuti dalam al-Asybah wa al-Nazair (1/60)
Ada beberapa dawabit (prinsip-prinsip) dalam isu halal dan haram daging haiwan :
• Pengharaman berdasarkan nas. Contohnya khinzir. Firman Allah SWT:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ? فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ? إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah al-Baqarah, 2:173)
• Pengharaman berdasarkan nas yang menyebut kriteria. Daripada riwayat Ibn Abbas R.anhuma:
نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ، وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang makan semua binatang yang memiliki nab (taring yang digunakan untuk menyerang) daripada jenis binatang buas, dan burung-burung yang memiliki mikhlab (cakar).
Hadis riwayat Imam Muslim (1934) dalam Sahih Muslim.
Seperti singa, dan burung hering.
Begitu juga dengan binatang ma’a (binatang yang hidup di dalam air), sama ada bahr (dalam laut) atau nahra (dalam sungai). Sabda Rasulullah SAW:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: Airnya suci, dan bangkainya suci (tidak perlu disembelih).
Riwayat Imam al-Tirmidzi (68) dalam Sunan.
Ada juga yang disebut sebagai barm?’? (yang boleh hidup di dalam air dan luar air). Contohnya buaya dan katak. Ulama Syafieyyah berpendapat hukum makannya haram.
• Pengharaman kerana terdapat racun. Contohnya ular dan kala jengking. Firman Allah SWT وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.
(Surah al-Baqarah, 2:195)
• Pengharaman kerana mustakhbithah ‘inda al-‘Arab (dilihat buruk memakannya dalam uruf Arab). Contohnya burung gagak dan tikus.
Ada pun kitam nipah, sebagai mana yang diketahui, binatang ini memang boleh hidup juga di luar air tetapi bukanlah dalam jangka masa yang lama. Justeru, hukumnya halal mengambil tempat binatang air.
Wallahu a’lam..