Cara Tanam Pokok Lemon Dari Biji Benih & Tips Supaya Berbuah Lebat

Lemon Berbuah Di Malaysia

Lemon atau nama saintifiknya, Citrus Limon adalah berasal dari kumpulan limau juga atau lebih tepat dalam keluarga Rutaceae. Ia cukup terkenal sebagai sumber vitamin C dalam kegunaan harian seperti makanan, dan minuman, dan bahan pemprosesan.

Secara umumnya, pokok lemon merupakan jenis tumbuhan yang tumbuh tegak, banyak cabang, dan merimbun. Ketinggiannya pula dianggarkan sekitar 5 hingga 7 meter. Keistimewaan daunnya pula berbentuk tirus dengan susunan bersilang berwarna hijau gelap.

Persepsi yang mengatakan lemon hanya sesuai ditanam di kawasan beriklim sejuk sebenarnya tidak tepat sama sekali kerana ia juga boleh hidup dengan subur di kawasan beriklim tropika seperti di Malaysia sendiri. Ini boleh dibuktikan dengan lambakan petani moden yang menjadikan lemon sebagai tanaman komersial di desa mahupun di bandar.

Khasiat Lemon Dari Segi Kesihatan

Kandungan lemon mempunyai pelbagai nutrisi seperti karbohidrat, serat, protein, kalsium, magnesium, natrium, kalium, folat, fosforus, vitamin C, zat besi, dan sebagainya. Dengan nutrisi yang begitu banyak, maka tidak hairanlah jika lemon terkenal dengan khasiatnya yang banyak.

Antara Khasiat Lemon Dari Segi Kesihatan Adalah;

  • Melancarkan sistem pencernaan
  • Membunuh parasit, dan mikrobakteria bahaya
  • Memperbaiki sistem pernafasan
  • Meningkatkan kualiti kesihatan
  • Mengurangkan masalah jerawat
  • Memutihkan gigi
  • Membantu menurunkan berat badan

Cara Tanam Pokok Lemon Di Rumah, Hanya Dengan Biji Benih

Selain tanam pokok lemon dari keratan batang, dan daun, kita juga boleh cuba tanam dengan menggunakan biji benih. Yang pastinya ianya lebih mudah, ringkas, dan pratikal. Modalnya hanya beli lemon, dan ambil bijinya sahaja.

1.Pertama sekali, beli lemon segar dari pasar, atau pun boleh juga di dapatkan dari pasar raya berdekatan. Kemudian, kita perlu ambil, dan asingkan bijinya. Cuci bijinya sehingga bersih.

2.Biji lemon tersebut mestilah dijemur dalam 2 hingga 3 hari untuk pastikan ia benar-benar sudah kering.

3.Langkah seterusnya, biji benih yang sudah dikeringkan perlu di simpan dalam bekas bertutup yang di lapik dengan tisu basah. Jika tiada tisu basah, boleh gunakan tisu yang dibasahkan dengan air sedikit.

4.Dalam masa kurang dari dua minggu, tunas akan keluar. Jika anda nampak tunas sudah mahu keluar, dengan segera buang kulit biji lemon tersebut.

5.Apabila anak benih sudah menumbuhkan tunas yang banyak, alihkan ia ke dalam bekas semaian. Alihkan ia sekali lagi ke dalam pasu, apabila anak benih sudah menampakkan empat helai daun. Jaga penjagaannya dengan baja, air, dan cahaya yang mencukupi.

Tips Supaya Sentiasa Berbuah Lebat

Pokok lemon ada juga masalahnya seperti pokok-pokok lain. Ada ketika, pokoknya tidak mampu memgeluarkan buah yang lebat. Namun begitu, cubalah praktikkan 4 tips ini agar pokok lemon anda kembali berbuah. Antara tipsnya adalah:

1. Ranting atau cabang pokok perlulah dipangkas terlebih dahulu. Cara ini bertujuan untuk meningkatkan produktiviti, dan kemampuannya dalam menumbuhkan buah baru.

2. Buat, atau gali lubang berhampiran dengan pokok lemon anda, kemudian masukkan pula sisa makanan ke dalamnya. Teknik ini perlu dilakukan beberapa kali pada lubang yang lain juga di lokasi yang berhampiran dengan pertama.

3. Sembur daun, dan batang pokok lemon dengan menggunakan cuka kayu. Cuka kayu bagus untuk melindungi pokok dari serangan perosak, dan menguatkan daya tahan pokok.

4. Letak baja untuk menambahkan rangsangan pada pertumbuhan baru pokok lemon tersebut.

Amatlah wajar menjadikan lemon salah satu tumbuhan yang wajib ditanam di rumah kita kerana sudah terbukti ia mempunyai banyak khasiat, dan kebaikannya pada tubuh badan. Bahkan kemungkinan besar jika ramai petani modan kini menjadikan ia sebagai tanaman wajib, maka nilai komersialnya juga akan meningkat tinggi.

Sumber: Fazliana Musa, Kelab Kaki Kebun Via majalahIlmu