Tempe mempunyai penggemarnya dan khasiat yang tersendiri. Pasti ramai yang tahu bahawa tempe mengandungi kandungan protein yang sangat tinggi selain kebaikan untuk mengurangkan kolestrol dalam badan serta mampu turunkan tekanan darah tinggi. Tempe juga dipercayai boleh membantu mengurangkan gejala menopause atau putus haid dengan cepat bagi wanita serta boleh mencerahkan kulit. Tapi, mungkin ramai yang tak tahu cara buat tempe sendiri di rumah.
Bagaimana cara buat tempe? Apakah bahan untuk membuat tempe? Sebenarnya, cara untuk membuat tempe homemade sangat mudah dan tidak begitu sukar untuk dilaksanakan. Perkongsian resepi cara membuat tempe tanpa menggunakan ragi tapai ini dikongsikan oleh saudari Ida Alina Salleh. Lebih baik buat sendiri di rumah selain jimat dan kebersihan makanan ini juga dijamin serta anda pasti berpuas hati selepas dapat menghasilkan tempe sendiri.
Cara Buat Tempe Tanpa Ragi Tapai
Cara buat tempe tanpa ragi tapai? Kenapa? Kerana ragi tempe dan ragi tapai sangat berbeza yang mana tidak boleh diguna-ganti. Ragi tapai menjadikan makanan manis dan basah. Manakala, ragi tempe sifatnya seperti spora cendawan halus dan tidak basah. Ia akan terus mereput dan membusuk.
Melalui perkongsian ini, selain cara buat tempe, Ida Alina juga menerangkan di mana beliau membeli ragi tempe dan cara-cara untuk membuat ragi tempe dengan mudah dan cepat. Sila lihat langkah-langkah pembuatan tempe serta penerangannya dengan teliti agar tempe yang anda hasilkan itu menjadi dan berkhasiat.
Bahan-bahan Buat Tempe:
- 1/2 kilo Kacang Soya
- 1/2 sudu teh Ragi Tempe
- Plastik
Cara Membuat:
1. Rendam kacang soya semalaman dalam air suam. Esoknya kita buang kulit kacang soya dengan menggesek-gesekkan kacang dengan tangan. Kalau boleh buangkan dalam 70% daripada kulit kacang soya. Kalau ada kacang yang masih bersalut sedikit-sedikit tu, tak apa. Kulit kacang soya tu saya jadikan baja di taman.
2. Rebus kacang soya hingga 3/4 masak. Bergantung pada kacang itu, masa merebus antara 3/4 jam hingga 1 jam setengah.
3. Apabila sudah lembut, toskan dan keringkan kacang. Saya jemur di luar seharian. Setelah kering, bawa masuk, biarkan sejuk sebentar. Taburkan ragi tempeh. Gaul dengan tangan bersih atau gunakan sarung tangan plastik. Kebersihan amat penting, kalau tak tempeh akan busuk.
4. Masukkan kacang dalam plastik yang sudah dibuatkan lubang bernafas sedikit. Saya cucuk guna lidi.
5.Biarkan di tempat yang bersuhu antara 27-32 darjah celsius yang mempunyai pengaliran udara yang baik. Selepas 6 jam, kita boleh rasa tempeh mula panas dan berpeluh. Selepas 24-36 jam dia akan mula memutih. Beginilah rupanya antara 36-48 jam setelah di buat.
******************************************************************
Artikel Seterusnya: Cara Membuat Ragi Tempe
Sekiranya anda tidak mempunyai ragi tempe, anda boleh buat sendiri. Berikutnya cara mudah buat ragi tempe yang dikongsikan untuk anda semua. Cara untuk membuat ragi tempe buatan sendiri ini tidak begitu sukar kerana ia boleh dibeli di kedai tetapi anda harus teliti untuk memastikan ragi yang akan dibuat itu adalah jenis ragi tempe terbaik selain hasilnya sedap dan memuaskan hati.
Caranya:
Ambil tempe segar dari kedai yang menjual tempeh. Makna tempe segar ialah tempe yang belum pernah disejukkan dalam fridge / peti sejuk / icebox / peti ais.
Hiris tempe itu nipis-nipis. Letak kan dalam dulang dan jemur dibawah sinaran matahari sehingga hirisan-hirisan tempe itu kering.
Ambil hirisan tempe yang kering itu dan kita kisarkan menggunakan pengisar atau blender kering (yang kita gunakan untuk mengisar rempah). Tempe yang dikisar akan kelihatan seperti tepung.
Keluarkan tempe yang dikisar itu dari pengisar.
Tempe yang kini kelihatan seperti tepung itu kemudiannya diayak dengan pengayak yang kita biasa gunakan untuk mengayak tepung.
Hasil ayakan itulah yang dinamakan “Ragi Tempe” yang boleh digunakan untuk membuat tempe di rumah.
Berbagai jenis dan resepi yang menggunakan tempe boleh dibuat dan dimakan. Antara yang popular yang menjadikan tempe adalah bahan asas atau bahan sampingan untuk menyedapkan masakan tersebut seperti pecal, lontong, sambal goreng dan banyak lagi.
Semoga bermanfaat dan selamat Mencuba!
Sumber: RahsiaRumahTangga
Download Ebook PERCUMA (PDF): 12 Resipi Masakan Tanpa Minyak. Ini link downloadnya: kliksini.top/ebook-percuma