Apabila seekor haiwan menjalin hubungan persahabatan dengan manusia, rasa kasih sayangnya pasti lebih mendalam dan tidak pula terbatas.
Dalam beberapa keadaan yang pasti lebih menyentuh hati, haiwan juga mampu menunjukkan rasa kasih dan kesedihan yang sama seperti manusia ketika mereka kehilangan orang yang disayangi.
Buktinya, seekor gajah dari Kerala, India ini telah berjalan sejauh 25 kilometer (15 batu) untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang sahabat baik manusia yang disayanginya,
The News Minute melaporkan Damodaran Nair, yang juga dikenali sebagai Omanchetan, telah meninggal dunia akibat sakit kanser di daerah Kottayam di Kerala, dan sebelum ini mendiang adalah Mahout atau pelatih gajah yang telah berkecimpung dalam kerjaya itu selama hampir 60 tahun.
Pertemuan pertama Damodaran dengan seekor gajah bernama Pallattu Brahmadathan adalah sejak 25 tahun yang lalu ketika kedua anak lelakinya membeli gajah itu dari pemiliknya yang pertama.
Sepanjang zamannya menjadi Mahout, Brahmadathan adalah gajah kesayangan Damodaran yang bahkan dianggap seperti anaknya sendiri.
Dalam satu video yang menjadi tular di media sosial, ia menunjukkan penduduk kampung dan sanak-saudara yang menziarahi pengebumian Damodaran berasa amat tersentuh dan sedih ketika Brahmadathan datang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Damodaran dengan mengangkat belalainya ke udara.
Brahmadathan dengan hormat kemudian berundur dan melangkah perlahan-lahan lalu meninggalkan pengebumian itu dengan perasaan sedih setelah anak lelaki Damodaran, Rajesh memeluk belalai dan memegang gading gajah itu.
Video yang memilukan itu menjadi tular dengan lebih 47,000 tontonan di Twitter. Pada 3 Jun lalu, Damodaran berjaya menyatakan hasrat terakhir ketika keadaan kesihatannya bertambah buruk, untuk melihat gajah kesayangannya buat kali terakhir. Beberapa minit selepas menatap wajah Brahmadathan, Damodaran kemudian menghembuskan nafas terakhir.
Menganggap Brahmadathan sebagai salah seorang anggota keluarga mereka, anak lelaki Damodaran, Rajesh membawanya ke pengebumian itu dari rumah mereka di Melampara ke Lakkattoor dalam perjalanan sejauh 25 kilometer demi memenuhi hasrat dan wasiat terakhir ayahnya, lapor The News Minute.
Kita pasti dapat memahami bahawa kedua-duanya mempunyai ikatan persahabatan dan kasih sayang yang sungguh istimewa tatkala air mata akan jatuh menitik tanpa sedar apabila melihat kejadian seperti ini di hadapan mata.