Petua Masak Sambal Tumis Yang Lebih Sedap. Sambal Bilis, Sotong, Udang Ada Petua Berbeza!

Sambal Tumis adalah antara masakan yang sentiasa mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Hidangan bersambal ini sesuai dimasak bersama pelbagai jenis bahan seperti ikan, daging, ayam, makanan laut, telur dan bermacam-macam lagi. Namun, ada di kalangan kita yang masih tercari-cari cara untuk menyedapkan lagi sajian ini. Mungkin kerana merasakan resipi yang sedia ada kurang menepati selera.

Melalui hantaran di FB, saudara Putra Bugis Temasek telah berkongsi tip dan petua untuk memasak sambal tumis yang lebih sedap. Nak cuba? Jom lihat cara-caranya.

CARA MASAK SAMBAL TUMIS YANG LEBIH SEDAP

Hari ini saya nak share petua atau cara buat sambal tumis. Tip-tip yang saya kumpulkan ini boleh membuatkan sajian ini bertambah sedap ketika dimasak. Saya buat penyelidikan tentang ini pada tahun 2013. Semoga bermanfaat & selamat membaca. Jika ada tip-tip dari teman-teman, sharelah juga ya..

1.TIP MASAK SAMBAL TUMIS BILIS

  • Kalau masak sambal bilis, masukkan sedikit ikan bilis semasa mengisar cili. Ia akan membuatkan sambalnya rasa lebih berperisa.
  • Bila masak Sambal Ikan Bilis, tidak perlu masukkan garam kerana bilis sudah mempunyai rasa masin. Tambah jika perlu sahaja.
  • Untuk rasa lebih enak, boleh goreng ikan bilis hingga garing dan goreng bawang besar hingga agak layu. Angkat. Tumis kisaran cili kering hingga masak. Masukkan air asam jawa, gula, garam dan barulah masukkan ikan bilis serta bawang yang digoreng tadi.

2.TIP MASAK SAMBAL TUMIS SOTONG

  • Untuk masak sambal sotong yang sedap, kena elak sotong berair dan mencemarkan sambal.
  • Caranya, selepas dibasuh, perap sotong bersama garam. Dan ketika memasak, rasa kuah terlebih dahulu supaya rasa garam tidak berlebihan.
  • Sotong tidak perlu dibasuh sebelum dimasukkan ke dalam sambal.
  • Semasa masak sambal, masukkan sotong terlebih dahulu. Biar hingga kecut barulah masukkan air asam jawa.
  • Jika nak elak sotong terlalu kecut, masak sotong separuh masak terlebih dahulu. Angkat dan keluarkan. Teruskan masak sambal hingga pekat dan barulah masukkan sotong kembali ke dalam sambal.

3.TIP MASAK SAMBAL TUMIS UDANG

  • Kalau masak Sambal Tumis Udang, kulit dan kepala udang jangan dibuang. Rebuskan kulit udang dan masukkan air rebusan dalam sambal. Ia akan menjadikan rasa sambal lebih sedap dan berperisa.
  • Ketika memasak sambal, masukkan udang terlebih dahulu. Biar sehingga air udang keluar dan barulah masukkan air asam jawa.
  • Untuk elak isi udang keras, masak udang hingga separuh masak terlebih dahulu. Angkat dan keluarkan. Bila sambal hampir masak, barulah masukkan udang kembali ke dalam sambal.
  • Untuk rasa sambal lebih berperisa, boleh juga kisar cili kering bersama sedikit udang kering bagi menyedapkan rasa.

4.TIP MASAK SAMBAL TUMIS TELUR

  • Untuk membuat Sambal Tumis Telur yang sedap, tambah sedikit ikan bilis sebagai perencah dalam kisaran cili.

5.CILI BOH

  • Elakkan menggunakan cili boh kerana ada mengandungi cuka.
  • Namun jika perlu guna, pastikan ia dimasak hingga betul-betul garing dan lebihkan gula untuk menghilangkan rasa cukanya.
  • Boleh juga tumis tomato dadu dan sedikit belacan semasa menyediakan sambal.

6.CILI KERING

  • Petua arwah nenek, tiap kali kisar cili kering, masukkan sikit kunyit hidup. Insyallah mana-mana masakan yang perlu guna cili seperti sambal, asam pedas, akan terasa lebih sedap.

7.SAIZ API MASAK

  • Api harus kecil dan tumis rencah sehingga naik minyak.
  • Selepas naik minyak baru masukkan gula. Gula dan minyak akan menjadi caramelized / keperangan.
  • Sambal tumis akan kelihatan gelap, cantik dan rasanya sedap
  • Kemudian masukkan air asam, garam dan air secukupnya. Teruskan masak seperti biasa sehingga siap.

Kredit petua & foto: Putra Bugis Temasek Via Rasa

Download Ebook PERCUMA (PDF): 12 Resipi Masakan Tanpa Minyak. Ini link downloadnya: kliksini.top/ebook-percuma