Antara perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh model ialah cara berjalan yang betul dan penuh gaya. Dengan menggayakan busana dan fesyen tertentu, mereka perlu berjalan di atas pentas dan disaksikan oleh penonton. Jadi, cara berjalan dengan betul adalah penting supaya apa sahaja fesyen yang digayakan akan terserlah di hadapan orang ramai.
‘Catwalk’ adalah cara biasa dalam penggayaan fesyen di atas pentas oleh para model, tetapi pernahkan anda melihat kucing sendiri yang melakukan ‘catwalk’ di atas pentas?
Sebuah pertunjukkan fesyen di Istanbul, Turki ini walau bagaimanapun telah ‘dihadiri’ oleh seekor kucing yang turut sama berjalan di atas pentas.
Kucing yang datang secara tiba-tiba di pertunjukan fesyen tersebut bukan hanya datang untuk menjadi tetamu yang tidak diundang, namun dengan selamba turut berjalan di atas pentas bersama model-model lain.
Kehadiran si comel tersebut terus menarik perhatian penonton yang terhibur dengan gelagat selambanya. Ramai yang mengambil gambar dan video untuk merakam momen-momen tersebut.
Walaupun kehadirannya agak mengejutkan ramai terutamanya barisan model, mereka tetap terus berjalan menggayakan fesyen masing-masing. Apa pun yang berlaku pertunjukkan tetap diteruskan dengan jayanya!