Kesilapan Mudah Suami Pada Isteri Yang Selalu Diambil Mudah

Tuhan menciptakan setiap daripada kita berbeza daripada yang lainnya. Tidak ada seorangpun antara kita yang sama 100% peratus. Walaupun dengan ibu kita, ayah kita ataupun pasangan kita. Kita semuanya berbeza. Walaupun kita rasakan kita sangat serasi dengan pasangan kita, kita tetap ada perbezaan.

Ikuti perkongsian ini

Dahulu, saya ada beberapa piawaian terhadap bakal isteri saya. Piawaian cara bercakap. Piawaian cara berjalan. Piawaian cara melayan saya. Piawaian cara makan. Sehinggakan ‘Body Language’ juga saya piawaikan.

Senang kata, semua benda perkara mesti mengikut piawaian yang saya tetapkan. Dan apabila isteri saya tidak mengikut piawaian saya, saya akan menegur. Kadang-kadang teguran itu nadanya baik. Kadang-kadang ia sedikit beremosi.

Isteri saya seorang yang patuh. Setiap kali saya menegur, dia akan ubah caranya mengikut cara yang saya mahukan. Begitulah ia berlarutan.

Sehinggalah satu masa Saya dapati isteri saya menjadi teragak-agak untuk melakukan sesuatu perkara. Dia juga teragak untuk untuk mengatakan sesuatu sedangkan ia adalah perkara yang mudah. Saya dapati isteri saya seolah-olah sedang serba salah. Saya dapat mengagak bahawa dia seperti takut jika apa yang dilakukan tidak kena di mata saya.

Saya perhatikan beberapa lama hari. Ianya berlarutan. Dan saya pun duduk termenung. Melihat ke dalam diri saya. Saya mula bertanya kepada diri saya sendiri, Adakah saya mahu isteri saya menjadi seperti piawaian saya ataupun dia menjadi dirinya?” “Adakah salah tindakan saya?

Pertanyaan ini bergelut diantara saya dan diri saya. Pergelutan pergi lebih dalam sebab saya membentuk piawaian itu. Saya mula mencari punca wujudnya piawaian itu.

Tujuannya, saya mahu membuang semua perkara tersebut. Saya terus bergelut. Dan akhirnya, saya temui.

Sejak di zaman persekolahan saya dididik dengan ilmu agama. Sejak sekolah menengah saya sudah mengikuti pengajian kitab-kitab besar seperti Bahrul Mazi.

Saya ditekankan oleh guru-guru saya bahawa suami perlu menjaga isteri. Kerana isteri adalah maruah kepada suami. Jika isteri melakukan kesalahan seperti keluar rumah tidak menutup aurat dan suami merelakan perbuatan tersebut, suami itu menjadi dayus. Dan saya diberitahu bahawa suami dayus tidak akan bau syurga.

Pesan Guru, saya sematkan ke dalam hati. Maka saya menetapkan beberapa piawaian untuk bakal isteri saya. Seperti menutup aurat dan juga beberapa kewajipan menurut Islam yang wajib untuk seorang isteri.

Akan tetapi, Sepanjang selang masa antara pesan guru saya dan masa saya berkahwin adalah lama. Dalam tidak sedar, Subconscious Mind saya mula menambah-nambah beberapa piawaian baru yang tidak ada kaitan dengan kewajipan pada asalnya. Definisi maruah juga secara tidak sedar menjadi bertambah rumit.

Maka dengan keadaan minda seperti itu, saya melangkah ke alam perkahwinan. Hidup dulunya seorang, kini menjadi dua.

Inilah yang menyebab saya meletak beberapa piawaian yang tidak perlu. Semuanya saya rangkumkan ke dalam definisi maruah.

Sebaik sahaja saya sedar, saya terus membetulkan definisi saya terhadap konsep maruah. Saya saring satu demi satu. Saya buang yang melampau dan saya simpan yang benar.

Saya selidiki satu persatu ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW berkenaan perkara-perkara yang melibat tanggungjawab suami isteri. Saya telusuri secara rasional setiap jalan cerita dari Rasulullah SAW dan Pada Sahabat RA untuk saya jadikan sebagai kayu ukur Konsep Maruah.

Sehinggalah saya memahami hadis ini secara rasional hadis ini. “Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik kepada keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik diantara kalian kepada keluargaku.” (HR Imam Tirmidzi, diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Ibnu hibban serta disahihkan oleh Al- Albani)

Saya tersentak seketika ketika ruang minda dipenuhi dengan hadis ini. Sebaik sahaja memahami hadis ini secara rasional, saya terus memadam semua piawaian konsep maruah yang tidak bersangkutan dengan Islam.

Saya menggantikan definisi konsep maruah kepada konsep yang dinyatakan di dalam hadis sahih ini. Iaitu, maruah adalah menjadikan orang yang paling baik untuk keluarganya.

Bermula dari saat itu, saya terus mengubah cara saya dengan isteri. Bila dia minta sesuatu, kebanyakan saya kata ‘boleh’. Bila dia tanya pandangan saya, saya akan tanya pandangannya. Bila dia teragak-agak untuk melakukan sesuatu, saya kata kepadanya ‘Buat saja sayang apa yang sayang rasakan betul. Abang rasa sayang lebih tahu cara terbaik’.

Bila dia minta RM10, saya bagi RM20. Bila dia minta RM100, saya bagi RM200. Saya cadangkan supaya dia ajak kawan-kawannya keluar. Dan yang paling penting, saya tidak lagi menegurnya melainkan hal-hal yang melibatkan hukum.

Saya mengubah segalanya. Dan saya dapati kehidupan saya juga berubah. Saya sentiasa pastikan saya lakukan seperti kata hadis tersebut:

Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik kepada keluarganya. Dan saya dapati, kehidupan saya juga lebih tenang. Dan kami juga lebih bahagia.

Kami hidup dalam keadaan saling melengkapi. Kami saling nasihat menasihati. Kami boleh berbeza pandangan dan perbezaan itu membuatkan wujudnya idea-idea yang lebih baik.

Ia menguntungkan kami. Kami lebih memahami kerana kami boleh meluahkan perasaan kami. Kami sangat suka situasi ini. Senyuman lebih manis setiap hari. Gurauan lebih membahagiakan.

Saya percaya apabila saya buat keputusan untuk menukar arah perhubungan kami daripada yang lama kepada arah perhubungan yang lebih baik, perhubungan ini menjadi lebih baik dan insyaAllah ia akan terus menerus menjadi lebih baik.

Saya sentiasa percaya bahawa satu perubahan yang dilakukan akan menghasilkan perubahan yang besar dan lebih besar.

Saya sentiasa percaya, apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, saya sentiasa melihat ke dalam diri saya. Dan mencari puncanya di dalam diri saya. Bukan pada orang lain.

Kini saya lebih dapat menghargai pebezaan antara kami. Buat para suami dan para isteri. Serta yang mahu mendirikan rumah tangga,

Hargailah perbezaan. Kita mencari yang serasi dengan kita. Bukan yang sama. Kerana sama itu membosankan. Dan serasi itu mengasyikan.

Jika ada mahu yang sama jugak seperti anda. Carilah yang mempunyai cap jari sama seperti anda. Dan, anda akan temui hanya andalah yang mempunyai cap jari seperti anda. Maka, anda kahwinlah dengan diri anda. Jangan berkahwin dengan orang lain. Hehe.

sumber: thevocket.com