Inti Sedap, Kulit Rangup. Wanita Ini Kongsi Rahsia Buat Karipap Daging Paling Enak.

Karipap Daging, Karipap Sardin, Karipap Pusing dan beberapa lagi variasi inti adalah antara kegemaran rakyat Malaysia. Kuih ini sesuai dinikmati pada bila masa dan jadi kegemaran ramai tanpa mengira usia.

Bermurah hati berkongsi resepi Karipap Daging jualannya, saudari Rosni Musa juga berkongsi petua menghasilkan kulit karipap yang rangup dan sedap. Caranya ialah dengan menggunakan air kapur jernih. Ha…Nanti bolehlah cuba ya. Jom lihat bahan-bahan lain yang diperlukan.

RESEPI KARIPAP DAGING RANGUP & BERINTI SEDAP

BAHAN KULIT KARIPAP:

  • 1kg tepung gandum
  • 3/4 cawan minyak masak
  • 2 sudu makan marjerin
  • 2 sudu makan air kapur jernih
  • 1 sudu teh garam
  • 400ml air sejuk dari peti ais

CARA MEMASAK:

1. Panaskan minyak bersama marjerin hingga marjerin cair.

2. Di dalam bekas besar, tuang tepung lalu dicurahkan minyak panas tadi.

3. Gaul rata menggunakan senduk hingga menjadi seperti serbuk roti.

4. Masukkan air kapur jernih ke dalam bekas yang berisi air sejuk. Air kapur ini adalah tip nak merangupkan kulit karipap.

5. Tambah sedikit garam dan kacau hingga garam larut.

6. Tuang air sejuk tadi ke dalam tepung. Gaul sebati dan uli sehingga doh tidak lekat di tangan.

7. Doh yang siap diuli.

8. Masukkan doh ke dalam plastik dan biarkan selama 30 minit.

9. Ambil doh dan bulatkan kecil. Masukkan kembali ke dalam plastik dan perap selama 1-2 jam.

Sementara itu bolehlah buat intinya.

 

BAHAN INTI KARIPAP DAGING:

  • 2kg kentang – didadu
  • 300gm daging dicincang
  • 2 biji bawang merah besar – didadu
  • 2 ulas bawang putih – diracik
  • 2 sudu makan rempah kari daging
  • 2 sudu makan cili kisar
  • Sedikit daun sup

CARA MEMASAK:

1. Panaskan minyak tumis bawang besar dan bawang putih hingga naik bau.

2. Masukkan rempah kari dan cili kisar. Tumis lagi.

3. Kemudian masukkan daging yang telah dicincang. Renihkan seketika.

4. Perasakan dengan garam, gula & perencah cukup rasa. Jumlahnya agak-agak sahaja jangan terlalu berlebihan.

5. Kemudian masukkan ubi kentang. Kacau rata.

6. Renihkan kentang sehingga empuk. Tak perlu tambah air kerana kentang akan mengeluarkan air. Bila sudah masak, padamkan api dan biarkan sejuk sedikit.

7. Masukkan daun sup dan gaul rata. Alihkan inti ke dalam bekas.

8. Ambil sebiji doh dan canaikan. Letak inti dan tutup doh.

9. Kelim hujung doh dengan cantik dan kemas.

10. Karipap yang telah siap di kelim.

11. Panaskan minyak. Goreng karipap dengan menggunakan api sederhana perlahan.

12. Angkat dan toskan.

13. Karipap untuk minum petang sedia untuk dinikmati.

Sumber: Rosni Musa