
Ikan bawal, siakap atau apa-apa sahaja ikan saiz besar, memang sedap kalau dimasak 3 rasa. Kombinasi rasa pedas, masam & manis menjadikan hidangan jadi lebih enak dan tidak muak. Kalau makan di kedai, memang mahal.
Jadi meh cuba buat sendiri kuah Ikan 3 Rasa perkongsian saudari SuiSan Aliezsha ni. Tak perlu pun beli sos ‘ready-made’. Rasa lebih sedap & boleh jimat banyak.
RESEPI IKAN BAWAL 3 RASA YANG SEDAP & MUDAH MASAK
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ikan bawal – boleh gantikan dengan ikan lain
- Garam
BAHAN KUAH:
- 2 sudu makan cili kering kisar
- Sos cili
- Sos tomato
- Sos tiram
- Sos ikan
- Jus limau
- 2-3 ulas bawang putih
- 1 biji bawang besar @ bawang holland – potong dadu
- 1/4 biji nanas segar – potong dadu ( jika kecil, guna 1/2 biji)
- 1 biji tomato – potong dadu
- 10 biji cili padi – potong
- 1 batang serai – hiris
- Daun ketumbar – hiasan
- Sedikit air
- Garam, gula dan perasa secukupnya
- Minyak masak
CARA MEMASAK:
1. Bersihkan ikan bawal. Lumur garam dan goreng hingga garing. Angkat dan ketepikan.
2. Untuk membuat sos, panaskan minyak tapi jangan terlalu banyak.
3. Tumis bawang putih, cili kering dan semua sos diatas. Sukatan sos agak-agak sahaja ikut cita rasa masing-masing.
4. Bila sos kelihatan masak sempurna, masukkan sedikit air dan jus limau. Gaul rata.
5. Perasakan dengan garam gula dan serbuk perasa mengikut selera masing-masing.
6. Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar, nanas, cili api dan serai. Masak lagi selama beberapa minit.
7. Tuang kuah ke atas ikan dan hiaskan dengan daun ketumbar. Sedia untuk dinikmati.
INFO: Sebaiknya guna nanas segar kerana ia akan menjadikan rasa sos lebih sedap dan beraroma.
Sumber: Suisan Aliezsha Via Rasa