Mendidik anak-anak, berbagai cara dan kaedah yang digunakan oleh ibu bapa untuk mendapat zuriat yang cemerlang. Ini kerana setiap seorang anak itu adalah unik dan berbeza-beza sifat dan perangainya. Oleh yang demikian, apa yang dipraktikkan untuk anak sulung tidak akan sama dengan apa yang dipraktikkan untuk anak bongsu.
Menurut Dr. Fadzillah Kamsah didalam bukunya yang bertajuk 21 kaedah mendidik anak cemerlang, kemahiran dalam mendidik anak-anak adalah berlainan antara ibubapa-ibubapa lain. Ini kerana ilmu keibubapaan merupakan ilmu yang tiada sukatan pelajaran. Ianya merupakan salah satu ilmu kemahiran yang patut dimiliki oleh ibubapa seperti ilmu kewangan, ilmu rumahtangga atau ilmu keagamaan.
Namun demikian, Dr. Fadzillah ada menggariskan tujuh kaedah dalam mendidik anak-anak menjadi anak yang berjaya dan cemerlang dalam hidup.
Tujuh kaedah tersebut adalah seperti berikut :
Kaedah pesanan dan arahan
Kaedah ini merupakan salah satu daripada kaedah yang disarankan oleh Rasulullah S. A. W. Biasakan mendidik anak-anak dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Selepas itu boleh dilihat bagaimana reaksi mereka. Apakah dengan sekali pesanan atau arahan mereka boleh melakukannya atau perlu dipesan berkali-kali barulah pesanan dan arahan itu dapat diikuti.
Sudah pastinya ibubapa hendaklah memberi arahan dan pesanan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Antara bentuk pesanan dan arahan kepada anak-anak :
-Mengenai solat di awal waktu
-Adab dengan orang tua-tua
-Adab dengan guru
-Adab dengan kawan-kawan
-Tugas harian di rumah
-Mengemas bilik sendiri termasuk meja belajar.
-Tatacara makan mengikut sunnah nabi
-Cara belajar yang berkesan
-Ingat sentiasa menutup aurat apabila keluar dari rumah
-Keselamatan jalan raya
-Tanggungjawab melindungi adik-adik.
Kaedah bercerita
Ibubapa boleh bercerita tentang pelbagai kisah motivasi terutamanya kisah-kisah teladan daripada Al-Quran, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita ialah supaya anak-anak secara tidak langsung dapat dididik melalui pemahamam minda bawah sedar mereka, menyampaikan maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut, Selain daripada itu, ianya dapat mengerat dan merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, yang mana anak-anak boleh menggambarkan di minda mereka dengan lebih jelas tentang apa yang diceritakan dan ini lebih berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.
Kaedah soal jawab
Bersoal jawab dengan anak dapat menggerakkan minda mereka. Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu mengenai diri anak dan perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan tanpa mengira masa, keadaan dan tempat seperti ketika dalam perjalanan, di rumah, waktu makan dan sebagainya.
Ibu bapa seboleh-bolehnya hendaklah berusaha menjawab semua persoalan yang diutarakan oleh anak-anak. Seandainya ibu bapa tidak tahu atau tidak pasti jawapan kepada soalan anak, jangan teragak-agak atau enggan untuk mengaku tidak tahu. Ibu bapa hendaklah memberi penjelasan atau jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh anak daripada orang yang mahir dalam bidangnya.
Anak-anak kecil lazimnya suka bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli keletah anak-anak ini. Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa kerana tabiat anak-anak yang bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda anak-anak yang cemerlang. Jika ditangani dengan baik anak itu mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.
Kaedah merujuk kenangan lalu
Kaedah ini bermaksud samada kenangan suka duka, pahit manis yang di perolehi sepanjang kehidupan ini. Pengalaman yang positif diambil sebagai teladan, manakala pengalaman yang negatif pula dijadikan sempadan. Pengalaman ini elok dibuktikan dengan gambar, dokumen atau barangan peninggalan yang terlibat supaya ianya lebih mudah untuk menjelaskan mesej yang ingin kita sampaikan. Sekiranya mesej yang ingin disampaikan itu dapat difahami maka mudah pula dijadikan iktibar oleh anak-anak. Selain itu pengalaman dari anak-anak itu sendiri juga penting. Ibubapa boleh mengaitkan apa pengajaran dan mengapa perlunya mereka berwaspada dengan peristiwa pahit yang telah mereka alami atau teladan dari peristiwa manis dan kejayaan yang pernah mereka kecapi.
Kaedah nasihat dan teguran
Kaedah ini tidak boleh dilakukan setiap hari atau masa untuk mengelakkan rasa jemu dan bosan pada anak-anak. Nasihat dan teguran kepada anak-anak hendaklah diberi dalam hal yang berkaitan dengan akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Ketika mendengar nasihat dan teguran daripada ibu bapa, anak-anak hendaklah dilatih supaya memandang wajah kedua-duanya atau tunduk. Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan yang mana pesanan dan arahan perlu dibuat setiap hari.
Kaedah bermain dan bergurau
Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka.
Mengikut Kajian Psikologi, Apabila Anak Berasa Gembira Dan Disayangi, Mereka Akan Menjadi Anak Yang Berdisiplin Dan Berakhlak Yang Baik. Tetapi Jangan Pula Bergurau Melampau Batas Seperti Bermain Dan Bergurau Berlarutan Sehingga Meninggalkan Ibadah Wajib Dan Tugas Yang Lebih Penting.
Bapa juga tidak manis bergurau atau bermain dengan anak perempuan yang telah meningkat dewasa. Begitu juga ibu tidak manis bermain dengan anak lelaki yang telah meningkat dewasa. Perlakuan tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan sehingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.
Kaedah latihan yang berterusan
Anak yang cemerlang perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini juga disarankan oleh Rasullullah S.A.W. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah latihan boleh dibahagikan kepada beberapa ciri diantaranya :-
Jantina
Ibu bapa hendaklah memberi tugas kepada anak-anak sesuai dengan jantinanya seperti tuga yang berat dan kasar diagihkan kepada anak lelaki manakala anak perempuan kepada kerja-kerja dalaman yang lebih ringan dan sesuai dengan watak keperempuanan mereka. Bagaimanapun tidak salah jika anak lelaki diajar dan diasuh melakukan pekerjaan yang sering dilakukan oleh orang perempuan seperti membasuh pakaian sendiri, menyidai pakaian, melipat pakaian, memasak, membasuh pinggan dan sebagainya.
Usia
Pengagihan tugas juga perlu diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.
Jangan lupa memberi pujian dan penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.
Semoga perkongsian ini dapat memanfaatkan semua ibubapa dan semoga anak-anak yang dididik menjadi anak yang soleh dan cemerlang dunia dan akhirat. InsyaAllah…
Dah Baca, Sila Komen Dan Share Ya. Jangan Lupa Sertai Group Kami Sokong Ustaz Ebit Lew. Klik Sini..
Terima Kasih
Sumber : PetuaIbu