Susahnya Nak Berkebun… Tak Susah Mana Pun Ikuti 10 Tips Untuk Berjaya Berkebun di Rumah Ini

Pada hari yang cerah dan nyaman, anda terasa ingin berkebun. Sebelum anda pergi mencangkul dan membuka paket biji benih, apa kata lihat tip-tip ini untuk anda berjaya berkebun.

Saya kongsikan berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya sebagai seorang ahli hortikultur (nama glamour tukang kebun. Hehe).

1. Pengubahan anak benih (transplanting seedlings)

Sesetengah biji benih perlu disemai dahulu pada talam semaian sebelum boleh pindah tanam di kebun. Apabila anak benih sudah mengeluarkan 3-5 helai daun sebenar, sudah tiba masanya aktiviti pengubahan berlangsung.

Ketika pengubahan, “Jangan pegang batang anak benih kerana batang itu adalah nyawanya,” jelas Puan Zaleha Ujang, pegawai pengurus ladang sayur Taman Pertanian Universiti, UPM. Kita perlulah pegang daun anak benih dengan perlahan-lahan tarik, “Kerana daun boleh tumbuh semula,” tambah beliau lagi.

2. Pengerasan (hardening)

Pengerasan ialah satu proses penyesuaian anak benih sebelum ia dipindahkan sepenuhnya ke atas batas atau ke dalam pasu lebih sesuai. Pastikan anak benih selesa dengan persekitaran kebun sebelum pindah sepenuhnya. Sekurang-kurangnya seminggu sebelum pindah ke atas batas letakkan anak benih di kebun dengan jagaan betul. Teduhkan ia dahulu dan kemudian setelah cukup, barulah pindahkan ia sepenuhnya di atas batas.

3. Masa penanaman

Suasana yang redup dan nyaman adalah waktu yang sesuai untuk pengubahan anak benih dilakukan. Bilakah waktu itu? Paling sesuai di awal pagi ataupun lewat petang. Ini bagi memastikan anak benih tidak kepanasan dan layu dek pancaran cahaya matahari.

Siram talam benih atau bekas sehari dan sejam sebelum pindah anak benih ke atas batas.

4. Di kebun

Ketika pengubahan berlangsung, pastikan anak benih berada dalam keadaan teduh. Korek lubang tanaman dahulu. Jika tak dapat tarik anak benih dari talam semaian dengan daunnya, tonggengkan talam semaian dan pegang tanah keliling anak benih atau korek keliling anak benih dan pastikan akar tidak tercedera.

Tanam setara atau sedikit dalam di tanah seperti mana semasa anak benih di atas bekas semaian. Jika tanah terlalu lembab ia boleh menyebabkan batang reput.

Untuk tomato, tanam dalam lebih dalam. Kajian oleh Pusat Kajian dan Pendidikan Florida mendapati anak benih tomato yang ditanam sehingga ke paras daun sebenar pertamanya berbuah awal dan menghasilkan tomato yang lebih besar dan banyak berbanding tomato yang ditanam melepasi akarnya sahaja.

Tekan sedikit tanah keliling anak benih agar padat tapi jangan terlalu padat sehinggakan air tidak dapat meresap masuk. Siram setiap anak benih kemudiannya.

5. Hari pertama

Anak benih memakan masa 2-3 hari atau berminggu sebelum ia menyesuaikan diri di kebun anda. Jika ada daun layu atau batang bengkok menunjukkan itu gejala kejutan pengubahan. Ia berlaku apabila proses pengerasan tak dilakukan dengan betul atau cuaca yang ekstrem seperti panas melampau atau hujan lebat.

Kebanyakan tumbuhan akan kembali pulih beberapa hari kemudian. Untuk itu, pastikan,

tanah sekelilingnya padat supaya tiada gelembung udara yang akan mengeringkan akar pokok. Tekan sekeliling anak benih. Elakkan di pangkal. Biar padat dari tepi.

Lindungi anak benih dari pancaran terik matahari dan hujan lebat dengan sungkupan. Gunakan seperti pelepah kelapa atau daun besar seperti daun sukun.
siram apabila 3 cm tanah atas mulai kering. Ukur dengan jari anda tentunya. Jangan siram jika ia basah, kerana ia tidak membantu langsung.

Dalam buku The New Starters Handbook (Rodale, 1988), penulis Nancy Bubel menyarankan agar tunggu sekitar tujuh hingga sepuluh hari selepas pengubahan sebelum membaja. Anak benih akan mengeluarkan akar yang menyerap makanan setelah itu. Ketika itulah pertumbuhan rancak berlaku. Disarankan untuk menyembur baja foliar, jika ada.

6. Semai terus

Selalunya untuk biji benih murah dan mudah didapati di pasaran seperti kangkung, jagung dan bayam. Semai sedikit dahulu di atas batas untuk lihat percambahan. Jika menjadi, barulah semai semua.

7. Kedalaman penanaman

Tanam terlalu dalam, biji benih tak bercambah, manakala tanam terlalu cetek, biji benih hanyut dibawa hujan atau dimakan haiwan.

Umumnya, tanam biji benih besar dengan kedalaman 3 kali diameternya (bukan panjang). Biji benih seperti kangkung, jagung, kacang panjang dan timun dikira biji benih besar.

Untuk biji benih halus seperti bayam dan sawi, gaulkannya dengan pasir halus dan tabur di atas batas atau bekas semaian.

Sesetengah biji benih seperti salad memerlukan cahaya untuk bercambah. Letakkan sedikit pasir halus di atas biji benih atau biarkan sahaja atas tanah atau bekas semaian. Namun pastikan ia melekat pada tanah dengan menekannya sedikit.

8. Batas atau tiada batas

Jika tanah di kebun anda selalu banjir atau berlopak, pembuatan batas adalah amat digalakkan. Jika tak, hanya gemburkan kawasan penanam sudah memadai. Penyediaan batas akan memudahkan pengendalian untuk mengawal rumpai nanti.

Jika tanam di dalam pasu pula, susun agar kelihatan cantik. Bolehlah kita menunjuk pada jiran kita. Bukan untuk berlagak tetapi agar jiran turut terpesona untuk berkebun bersama. Lebih ramai orang berkebun, lebih meriah.

9. Sebelum mula

Sediakan satu buku khas bagi mencatat jurnal penanaman anda. Ia tidak wajib tapi semestinya ia dapat membantu anda untuk musim penanaman seterusnya.

Jawab soalan ini. Apakah jenis sayur yang ingin ditanam dan lokasi penanaman anda nanti? Ini agar memudahkan jadual perancangan penanaman nanti.

Sila label nama sayur dan tarikh pada penanda. Letakkan pada anak benih selepas pengubahan. Ini akan membantu catatan jurnal anda nanti.

Jika kasut anda penuh dengan tanah melekat padanya, ia petanda tanah kebun anda terlalu basah untuk aktiviti pengubahan atau semaian terus dilakukan. Tunggu sehingga ia kering.

10. Gemburkan kembali

Telah beberapa minggu berlalu aktiviti anda menggembur dan membentuk batas di kebun. Tanah kebun anda mungkin telah mengeras dek hujan dan panas matahari yang memancar. Gemburkan ia kembali (juga jangan lupa untuk merumpai). Walaupun begitu cangkul hanya sedikit sahaja kerana jika terlebih gembur akan merosakkan tanah.

Jika di dalam pasu, sama juga. Gemburkan dengan serampang mini. Cucuk sekitar pokok kita. Jangan dekat dengan pangkal. Takut nanti tercedera batang pokok. Anda pasti akan dapat melihat perbezaan tumbesaran tanaman anda selepas penggemburan dilakukan.

Jadi, anda telah mendapat tip-tip yang saya berikan. Apa kata komen anda pula? Pernah cuba tip di atas? Atau mendapat sesuatu yang baharu? Jom kongsikan pandangan anda di bahagian komen. Saya suka membacanya juga!

sumber:

  1. http://www.utusan.com.my/utusan/search.asp?stype=kw&Str=tanam+zaleha
  2. http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2011&dt=1128&pub=utusan_malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_04.htm
  3. http://www.organicgardening.com/learn-and-grow/secrets-successful-planting

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. TQ

(Visited 149 times, 1 visits today)