Saka dan Cara Mengatasinya – Ustaz Sharhan Shafie

Saka adalah perkataan yang sangat ditakuti kini dalam masyarakat kita berbanding dengan perkataan pusaka. Saka lebih sinonim dengan adanya pertalian dengan makhluk halus jin dan syaitan. Saka yang asalnya daripada sebelah atas keturunan kita biasanya akan mengikuti anak cucu ataupun dengan lain perkataan berdamping dengan pewarisnya.

Permasalahan ghaib ini yang turun dari satu generasi ke satu generasi yang terkebawah ini adakalanya dianggap suatu keistimewaan dan kelebihan tetapi benarkah dakwaan itu? Kertas kerja ini cuba mengupas definisi saka, asal-usul, faktor kemasukan saka, tanda-tanda ada saka, kesan bersaka dan kaedah untuk rawatan saka. Moga mendapat manafaat dari perkongsian ilmu yang sedikit ini.

APAKAH MAKNA SAKA?

Menurut Kamus Dewan, edisi ketiga h.1170 “saka” bermakna pusaka. Saka juga dimaknakan leluhur daripada kedua belah pihak sebelah ibu dan bapa. Sebenarnya memang terdapat perbezaan diantara perkataan saka dan pusaka. Pusaka, lebih merujuk kepada harta benda yang diwarisi oleh seseorang dari seseorang yang ada kaitan nasab yang rapat yang telah meninggal dunia.

Saka pula pada pengertiaan biasa dalam masyarakat Melayu tidak sama maksudnya dengan pusaka tadi. Ini disebabkan perkataan saka itu biasanya digunakan secara khusus berkaitan dengan berbagai ilmu dan amalan yang salah dan sesat dalam pandangan Islam yang biasanya akan melibatkan jin dan syaitan.

Perumpamaan yang mudah ialah pusaka sangat menarik minat pewaris sehingga mereka sanggup berebut untuk mendapatkannya, tetapi saka pula mereka berebut untuk menolaknya. Kenapa situasi ini berlaku? Sebab jelas kepada kita memang terdapat perbezaan yang besar antara keduanya. Satu berbentuk harta benda yang menggamit nafsu manusia untuk memilikinya manakala saka yang berbentuk ilmu yang melibatkan jin dan syaitan amat menakutkan kepada sesiapa sahaja.

Bila disebut; “Ahmad dapat pusaka dari ayahnya yang telah meninggal dunia”’ bermaksud Ahmad telah mewarisi harta kekayaan dari ayahnya yang telah meninggal dunia. Tetapi bila disebut; “Ahmad dapat saka dari ayahnya yang telah meninggal dunia”’ bermaksud Ahmad telah mewarisi ilmu dan amalan salah dan sesat yang melibatkan penggunaan jin dan syaitan dari ayahnya yang telah pun meninggal dunia.

DARI MANA ASAL-USUL SAKA?

Untuk memudahkan perbincangan penulis cuba mengkategorikan tajuk ini kepada dua faktor utama supaya kita nampak dengan lebih jelas dari mana asal-usul saka.

  1. Saka berasal dari asal-usul kita iaitu yang diterima daripada ibubapa, datuk nenek, moyang dan usul keturunan kita di sebalah atas. Inilah pendapat umum yang sangat popular di negara kita sehingga ada yang menyatakan saka ini boleh diwarisi sehingga lebih tujuh keturunan, malahan jika melanggar pantang-larang kemungkinan saka itu akan bertapak selama-lamanya dalam pewarisan berkenaan. Biasanya saka ini hanya melibatkan adanya pertalian darah, jika tiada adalah sukar untuk saka berkenaan memasuki tubuh seseorang.
  2. Saka yang berasal bukan disebabkan keturunan, tetapi saka datangnya dari pihak luar iaitu jika berlaku dalam keadaan sedemikian:
  • Mereka yang tinggal bersebelahan atau berjiran dengan bomoh atau pengamal perubatan yang menggunakan amalan yang salah iaitu menggunakan khidmat jin dan syaitan. Kejadian ini banyak berlaku tanpa disedari oleh jiran terbabit dan adalah dinasihatkan janganlah duduk berjiran dengan orang yang di atas.
  • Pemandu, tukang kebun, orang gaji dalam sebuah rumah, mereka juga boleh diwarisi oleh saka tuan rumah tersebut apatah lagi jika mereka telah bekerja bertahun-tahun lamanya.
  • Mereka yang bertugas di hospital seperti doktor, jururawat, attendan dan yang lainnya juga besar kemungkinan boleh menerima saka dari pesakit yang berjin dan bersyaitan yang mereka hadapi setiap hari.

Sudah Baca, Klik Like Dan Komen Dibawah Jika Tulisan Ini Bermanfaat. TQ – RencahRasa

(Visited 54 times, 1 visits today)