Pasangan Pengantin Tidak Perlu Hadir Kursus Pra-Perkahwinan Sepanjang PKPB Di Kedah

Kerajaan Kedah hari ini memutuskan bahawa pasangan pengantin yang bakal mendirikan rumah tangga di Kedah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak perlu lagi mengikuti kursus praperkahwinan sebaliknya hanya dikehendaki menghadiri temu duga ringkas.

TEMUDUGA RINGKAS DI PEJABAT AGAMA

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata temu duga ringkas selama kira-kira 15 minit itu dijalankan oleh pegawai pejabat agama daerah dan pasangan tidak dikenakan sebarang bayaran.

“Kelonggaran yang diberikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) itu mampu menjadi alternatif terbaik menyelesaikan masalah pasangan yang mahu berkahwin disebabkan kursus praperkahwinan tidak dapat diadakan buat masa ini.”

Menurut laporan Awani, sesi ini akan berlangsung pada hari akad nikah di pejabat agama daerah. Ini bermaksud pasangan pengantin boleh bernikah walaupun tiada sijil (kursus praperkahwinan).

Dalam perkembangan lain, Sanusi menjelaskan kerajaan Kedah kini sedang mengatur pertemuan bersama Kementerian Pengangkutan bagi menambah perjalanan dua hala feri dari Kuala Kedah ke Langkawi. Ianya berikutan ketika ini hanya dua perjalanan feri setiap hari iaitu pada jam 11 pagi dan 4 petang, yang agak menyukarkan penumpang selain menjejaskan kedudukan kewangan pengusaha feri.

Mac lalu, perkhidmatan feri antara Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Perlis-Langkawi telah dikurangkan kepada dua perjalanan sehari berbanding 10 sebelum ini, selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber: Astro Awani

Recommended for you

(Visited 4 times, 1 visits today)