Macam Tak Percaya Dah 53 Tahun, Ini 7 Perkara Tentang ‘Dr Ji’ Yang Mungkin Anda Nak Tahu

Fenomena K-drama The World of The Married mengisahkan kehidupan doktor wanita Ji Sun Woo yang pada awalnya kelihatan sempurna namun musnah setelah suaminya Lee Tae Oh curang dengan wanita yang lebih muda menjadi sebutan dan trending di laman sosial.

Drama ini disahkan telah mencatatkan rating yang lebih tinggi daripada rekod yang dipegang kemas oleh drama SKY Castle (23.78%) pada tahun 2019 dengan catatan 24.33%, sekali gus mencatat sejarah baru bagi drama Korea di saluran kabel televisyen.

Teraju utama drama ini, Kim Hee Ae, 53 tahun, memainkan watak Dr Ji ternyata memberi kesan yang begitu mendalam kepada penonton dengan digambarkan sebagai isteri yang bijak, kuat dan seorang wanita yang independent.

Setelah 4 tahun mendiamkan diri dalam bidang lakonan, Kim Hee Ae membuktikan kualiti lakonannya yang luar biasa. Jom kita kenali lebih dekat dengan pelakon utama The World of The Married ini.

7 Perkara Tentang Kim Hee Ae, Pemegang Watak ‘Dr Ji’ Dalam The World Of Married

1. Lebih 37 Tahun Berkecimpung Dalam Industri Hiburan Di Korea Selatan

Kim Hee Ae sebenarnya bukan nama yang asing di Korea Selatan.

Beliau telah berkecimpung dalam industri hiburan lebih dari 37 tahun di Korea Selatan tau!

Memulakan karier sejak tahun 1983, beliau telah membintangi lebih 30 drama ikonik, menjadi model, serta turut dilantik menjadi jurucakap produk kecantikan.

2. Penglibatan Awal

Difahamkan bahawa wanita kelahiran Jeju ini terjun di industri modeling pertamanya bagi sebuah iklan untuk pakaian seragam sekolah pada tahun 1978.

Pada 1983, Kim Hee Ae melakukan debut lakonannya bagi filem The First Day of Twentieth Year.

Namun nama Kim Hee Ae mulai melonjak naik sejak membintangi filem Beyond the Mountains pada tahun 1991 dan Sons and Daughters pada tahun 1992.

3. Anggun Pada Usia 53 Tahun

Artis yang memiliki tinggi 164 cm ini baru saja menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-53 pada 23 April lalu.

Dilahirkan pada tahun 1967 di Jeju, artis ini sering kelihatan trendy dan elegan. Lihat saja dalam drama The World of The Married, penampilannya nampak menyerlah walaupun tidak sarat dan keterlaluan kan?

Beliau juga dikatakan menginspirasikan ramai wanita supaya berasa lebih konfiden agar mengenakan pakaian yang selesa dengan diri mereka.

siapakah kim hee ae

4. Selesa & Mesra Dengan Krew Penerbitan

Mesti kita rasa geram dan kadangkala kasihan dengan apa yang perlu dihadapi oleh Dr Ji dalam The World of The Married.

Yalah, dia terpaksa telan semuanya sendiri apabila satu-satunya lelaki yang dicintai mula beralih arah. Ada kawan pun tak boleh percaya.

Ibu ayahnya pula meninggal dunia sejak kecil dalam kemalangan yang meninggalkan trauma dalam hidupnya hingga dewasa!

Tapi korang jangan emosi sangat, sebab sebenarnya masa behind the scene, mereka ni semua mesra dan profesional.

Tak percaya? Cuba tengok suasana ni selepas salah satu scene yang paling intense di meja makan ni.

5. Pernah Membawa Pelbagai Watak

Beliau pernah tampil dengan pelbagai watak sebelum ini, antaranya sebagai seorang penulis dalam filem Snow Flower (2006), CEO sebuah syarikat gergasi dalam Midas (2011), seorang detektif dalam unit jenayah keganasan melalui Mrs Cop (2015) dan penerbit eksekutif dalam sebuah syarikat penyiaran menerusi Second to Last Love (2016).

Selain membintangi drama percintaan, beliau juga pernah memainkan watak jahat sebagai orang ketiga dalam hubungan rumah tangga kawan baiknya sendiri menerusi drama My Husband’s Lover (2007).

Ketika Kim Hee Ae berubah menjadi seorang detektif menerusi drama Mrs. Cop (2015), beliau pula banyak terlibat dengan aksi pergelutan.

Bayangkan, bahkan di usianya yang sudah hampir mencecah 50-an ketika itu, beliau masih mampu meyakinkan penonton dengan adegan bela diri yang mantap!

Selain itu, Kim Hee Ae juga memainkan peranan dalam filem berikut:

  • Thread of Lies pada 2014
  • C’est Si Bon pada 2015
  • The Vanished dan Her Story pada 2018
  • Moonlit Winter pada 2019

Beberapa drama Korea yang diperankan oleh Kim Hee Ae selain yang disebutkan di atas termasuklah :

  • Secret Affair (2014)
  • How Long I’ve Kissed (2012)
  • My Husband’s Lover (2007)

6. Keluarga

Mendirikan rumah tangga pada tahun 1997, suaminya Lee Chan-jin, merupakan bekas CEO laman portal Dreamwiz.

Hasil perkahwinan ini, mereka mempunyai 2 orang anak lelaki yang comel.

Tak banyak berbeza dari lakonan, dalam kehidupan sebenar Kim Hee-ae juga dianggap sebagai supermom.

Ini kerana dia perlu menyeimbangkan peranannya sebagai seorang ibu, seorang isteri, serta kariernya sebagai pelakon.

7. Duta Produk Kecantikan

Kalau anda perasan, Kim Hee Ae pernah menjadi seorang duta produk kecantikan dalam salah sebuah jenama terkenal iaitu SKII. Patutlah macam pernah nampak kan?

Mengakui bahawa dirinya tak begitu rajin bersenam, sebagai ibu dan seorang isteri jadualnya cukup padat dan cukup membuatnya banyak bergerak. Katanya, ini saja dah cukup mempertahankan bentuk badannya!

Selain itu, beliau juga rajin menggunakan pelembab wajah dan mengamalkan diet teratur. Simple!

Bagaimana Agaknya Kesudahan The World Of The Married?

Apapun, tentunya ramai yang terkesan dengan watak Dr Ji dan nak tahu apa langkah seterusnya yang dia nak buat pada Lee Tae Oh kan?

Adakah dia ada rancangan diam-diam untuk mengatur langkah dan memperdayakan bekas suaminya atau adakah dia akan terbuka hati untuk memaafkannya atau terus berhijrah dari situ?

Ada berbaki 4 episod lagi sebelum ianya semua terungkai. Suspen betul!

(Visited 35 times, 1 visits today)