Kisah Inspirasi – Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Amerul Affendi Ternak Ikan Patin Cari Rezeki

(Gambar) Minat dalam bidang penternakan menjadi faktor yang menguatkan keinginan pelakon, Amerul Affendi menceburi perniagaan ikan patin sangkar di Temerloh, Pahang. – Foto Amerul Affendi

KUALA LUMPUR: Minat dalam bidang penternakan dan pertanian antara faktor yang menguatkan keinginan pelakon, Amerul Affendi menceburi perniagaan ikan patin sangkar yang diusahakan di Temerloh, Pahang sejak dua tahun lalu.

Perniagaan yang dilihat cukup ‘rare’ itu juga menjadi ruang buat pemilik nama penuh Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi menambah sumber pendapatan sampingan ketika ketiadaan kerja dalam bidang lakonan.

Ketika dunia diuji dengan pandem1k COV1D-19, aktor yang diangkat Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2019 itu mencari alternatif lain meneruskan kelangsungan hidup.

“Selain minat, saya sudah lama memendam hasrat berniaga ikan patin selama hidup di Temerloh. Ini selepas melihat rakan sekolah boleh jana pendapatan yang lebat, setiap bulan. Bayangkan masa sekolah lagi kawan saya sudah mampu membeli motosikal RXZ dengan perniagaan ikan patin.

“Jadi, kenapa tidak saya menceburinya? Lagipun keenakan ikan patin Sungai Pahang sudah terbukti lain rasanya dengan tempat lain. Ramai yang memuji keenakan ikan patin ini. Daripada situ, saya melihat perniagaan ini mempunyai potensi cerah,” ujarnya kepada BH Online.

Pelakon filem Polis EVO itu juga menamakan perniagaan ikan patin sangkarnya dengan nama Patin Peng. “Peng adalah nama panggilan manja di kalangan keluarga. Jadi, saya abadikan nama ini dalam bisnes yang diceburi.

“Sekali dengar Patin Peng macam sebutan karakter Peter Pen juga,” katanya sambil ketawa. Amerul berkata, dia juga sedang memikirkan meneroka bidang pertanian melalui kaedah penanaman fertigasi (tanpa tanah).

“Dalam hati ingat nak tanam cili padi pula selepas ini,” katanya. Menjawab persoalan adakah terlintas bersara daripada dunia lakonan dan memberi tumpuan kepada perniagaan, Amerul belum terfikir ke arah itu.

“Nak berhenti agak susah sebab ia sama seperti minat saya terhadap dunia penternakan dan pertanian ini. “Apabila minat terhadap sesuatu perkara, pastinya kita sanggup menahan azab sengsara yang dilalui,” katanya – Berita Harian