Jemu Ayam dan Daging, Boleh Cuba Rendang Ikan Tongkol

Manalah tahu ada yang sudah agak berasa jemu dengan ayam dan daging. Bolehlah anda cuba pula makan ikan. Ini resipi rendang ikan tongkol.

Lauk pedas selalunya jadi pilihan untuk membangkitkan selera makan. Ini kerana lauk pedas boleh membuka selera dan membuatkan kita rasa nak makan lagi. Katanya, lauk pedas kurang sesuai untuk orang yang sedang diet. Lagi sedap kalau ada masam-masam juga. Hidangan ikan tongkol yang RASA kongsikan ini pasti menepati cita rasa untuk makan bersama keluarga.

IKAN TONGKOL RENDANG ASAM

BAHAN A
• 1 ekor ikan tongkol
• Garam
• Kunyit
• Minyak masak

BAHAN B
• 2 batang serai
• Halia sebesar ibu jari
• 10 biji cili padi (lebihkan kalau nak pedas)
• Kunyit hidup sebesar jari kelingking
• 4 ulas bawang putih
• 2 biji bawang merah

BAHAN C
• Air asam jawa

CARA MEMBUAT
1. Cuci bersih ikan tongkol. Lumurkan garam dan kunyit. Panaskan minyak masak dan goreng sekejap, jangan terlalu garing.
2. Sementara ikan digoreng, bahan-bahan B dikisar kasar. Kalau rajin, nak tumbuk pun boleh.
3. Angkat ikan dan kurangkan sedikit minyak dalam kuali tadi. Tumis bahan-bahan kisar tadi.
4. Masukkan air asam jawa ke dalam kuali tadi dan kacau sampai pecah minyak.
5. Akhir sekali, masukkan ikan. Kacau-kacau kejap dan tutup api. Sedia dihidang.

Resipi oleh Lina dari Telegram KakiMakan

The post Jemu Ayam dan Daging, Boleh Cuba Rendang Ikan Tongkol appeared first on RASA.

(Visited 1 times, 1 visits today)