Jangan Panik Masa Bersalin, Teran Ikut Arahan Doktor!

Bersalin merupakan moment yang sangat mendebarkan buat para ibu. mereka harus bersabung nyawa demi melahirkan zuriat tercinta.

Banyak kes ibu-ibu yang bersalin mengalami komplikasi semasa bersalin dan salah satu faktornya adalah sewaktu meneran. Untuk pengetahuan para wanita terutama bakal ibu, meneran merupakan satu kemahiran dan kemahiran meneran ini perlu dilakukan dengan cara yang betul.

Teknik Meneran Yang Betul

Jadi sewaktu bersalin amat penting buat para ibu untuk tidak panik dan bertenang sambil fokuskan diri untuk mendengar arahan doktor dan jururawat yang membantu proses bersalin.

Dr Sharina Mohd Razali daripada Pakar Perbidanan & Sakit Puan di Hospital Columbia Asia Bukit Rimau berkongsi tentang cara meneran yang betul.

Foto – Arkib Wanista
  1. Angkat kepala sehingga dagu mencecah dada.
  2. Mata memandang ke arah perut.
  3. Tangan pegang pergelangan kaki.
  4. Elakkan mengeluarkan suara ketika meneran. Simpan tenaga untuk meneran.
  5. Jangan sesekali angkat punggung, agar luka tidak melibatkan dubur.
  6. Tarik nafas dengan dalam dan teran seperti keadaan membuang air besar.
  7. Pastikan kamu tidak mengeluarkan nafas dengan kuat.
  8. Teran sekuat-kuatnya selama yang boleh (dalam 10 saat jika mampu).
  9. Rehat dan relaks ketika tiada kontraksi. Basahkan bibir dengan air dengan bantuan suami (jika suami turut masuk ke kamar bersalin).
  10. Curi nafas dan teruskan meneran di setiap kontraksi.
  11. Dengar arahan jurawat dan doktor.
  12. Elakkan menjerit-jerit untuk mengelakkan pembaziran tenaga.

Postur Badan Yang Betul Semasa Meneran

Foto – Shutterstock

Penting untuk kita semua ketahui teknik meneran ini dengan betul untuk mengelakkan dari berasa cepat penat sepanjang proses bersalin berlaku. Selain teknik meneran, wanita juga harus tahu postur tubuh yang betul semasa meneran.

  • Baring dengan keadaan kedua-dua belah kaki terbuka luas.
  • Kedua-dua kaki dilipatkan sedikit ke belakang.
  • Bahagian belakang akan ditinggikan sedikit.
  • Cuba pegang pada tumit atau meletakkan kaki pada penyokong besi yang disediakan.

Nota penting: Apabila kamu dimasukkan ke kamar bersalin, elakkan diri dari meneran terlalu awal iaitu sebelum bukaan serviks 10sm kerana ia boleh menyebabkan diri kamu berasa penat dan memberikan tekanan yang berlebihan terhadap bayi dalam perut.

Selain itu, meneran terlalu awal juga akan menyebabkan serviks terkoyak, jadi kamu harus peka dan dengan arahan doktor dan jurawat teran apabila diberi arahan.

Snek Dan Simpan Tenaga

Foto – Arkib Wanista

Sebelum masuk ke kamar bersalin, kamu dibenarkan mengambil snek atau makanan ringan dengan kuantiti yang sedikit dan antara snek yang boleh di ambil adalah seperti:

  • Roti
  • Pisang
  • Kurma
  • Air minuman berkhasiat

Pengambilan snek sebelum masuk ke kamar bersalin adalah bertujuan untuk memberi tenaga untuk kamu meneran semasa proses bersalin berjalan.

Dan kuantiti yang boleh kamu ambil adalah sedikit sahaja, semasa kamu berada di kamar bersalin air minuman akan diberikan untuk membasahkan bibir sepanjang proses bersalin berlangsung.

Apa-apapun, kamu perlu bertenang, kawal perasaan dan dengar arahan yang diberikan oleh para doktor dan jururawat sepanjang proses bersalin.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat ibu-ibu yang bakal bersalin tidak lama lagi.

Rujukan: 1, 2,

The post Jangan Panik Masa Bersalin, Teran Ikut Arahan Doktor! appeared first on Wanista.com.

(Visited 3 times, 1 visits today)