Doktor Pakar Kongsi 7 Tip Cegah Koyakan Besar Masa Bersalin Dan Cara Betul Rawat Jahitan

Satu hal yang paling menggerunkan mana-mana ibu hamil secara normal, tentulah melalui saat melahirkan dalam bilik bersalin. Paling dibimbangi tentulah menghadapi koyakan besar atau sebaliknya pada bahagian perineum atau digunting (episiotomi) semasa bersalin.

Masa nak dekat-dekat bersalin itu dah macam-macam terbayang dalam fikiran mak-mak. Besar mana koyakan, banyak mana jahitan dan tentunya semua itu merungsingkan perasaan.

Bagi yang pertama kali melalui proses kelahiran, koyakan pada vagina mungkin sesuatu yang agak asing untuk anda. Namun jika anda ada mengikuti kelas persediaan sebelum kelahiran pastinya terma tersebut telah anda ketahui.

Menurut Dr. Maiza Tusimin, Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, FPSK, UPM dan juga Pakar Perunding (Jemputan) Perubatan Reproduktif & Infertiliti, Hospital Pakar An-Nur,

Perineum di dalam bahasa Yunani disebut Perineos; adalah bahagian di antara kedua belah paha, yang dibatasi oleh vulva dan anus, dengan tulang simpisis pubis di bahagian atas, dan tulang koksigeus di bahagian belakang.

Perineum terdiri dari otot dan fasia urogenitalis serta diafragma pelvis. Perineum merupakan bahagian yang sangat penting bukan sahaja dalam hubungan intim.

Malah terlibat secara langsung dengan proses kelahiran bayi, juga bertindak sebagai bahagian yang penting untuk mengawal proses pembuangan air kencing dan najis.

Sebenarnya, mak-mak yang bakal melahirkan boleh mengurangkan koyakan besar pada bahagian perineum jika tahu caranya. Lakukan sebelum tibanya tarikh melahirkan. Ketahui 7 tip pencegahan yang dikongsikan Dr Maiza ini.

7 Tip Pencegahan Koyakan Besar Pada Perineum

  1. Jangan Panik! Bersedia dengan ilmu kelahiran menjadikan bakal ibu lebih tenang dan tidak panik ketika proses kelahiran.
  2. Senaman Kegel : Kemutkan otot pelvis / vagina seperti anda sedang menahan kencing, tahan selama 10 saat, lepaskan perlahan-lahan dan ulang 25 kali setiap satu sesi, lakukan tiga kali sehari sepanjang tempoh kehamilan.
  3. Urutan perineum beberapa minggu sebelum kelahiran berpotensi untuk menjadikan otot pada bahagian vagina lebih anjal dan mengurangkan risiko koyakan vagina yang teruk.
  4. Meneran dengan betul! Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen dan ke bawah.
  5. Jangan teran terlalu awal! Meneran terlalu awal ketika kepala bayi masih tinggi menyebabkan vagina membengkak dan mudah koyak.
  6. Posisi yang betul! Rapatkan dagu ke dada, anda berkeadaan sama seperti udang membengkok, pegang pergelangan kaki, dan jangan sesekali mengangkat punggung!
  7. Dengar arahan doktor dan amalkan berzikir dan doa sepanjang proses kelahiran.

Rawat Kecederaan Perineum (Koyakan)

Koyakan tahap pertama dan kedua adalah koyakan yang boleh dijahit secara langsung tanpa memerlukan pesakit untuk dimasukkan ke dewan bedah. Rawatan susulan juga agak ringkas dan tidak memerlukan rawatan susulan yang kerap.

Koyakan tahap ketiga dan keempat diklasifikasikan sebagai kecederaan perineum yang kompleks di mana pesakit perlu melalui pembedahan di bilik bedah untuk menjahit bahagian yang koyak.

Bergantung kepada tahap kesukaran untuk merawat koyakan tersebut, pesakit mungkin memerlukan perawatan dan pemantauan kombinasi daripada pakar bedah kolorektal dan uroginekologi.

10 Cara Pulihkan Kesan Jahitan Dengan Panduan Doktor

  1. Lazimnya ibu akan dibekalkan dengan ubat untuk melembutkan najis bagi membantu melawaskan proses pembuangan najis.
  2. Jahitan pada vagina tidak perlu dibuka, benang yang digunakan merupakan benang mudah-serap.
  3. Proses penyembuhan bergantung kepada tahap koyakan vagina. Bagi yang mengalami tahap koyakan pertama dan kedua, lazimnya luka akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh 2-3 minggu bergantung kepada tahap kesihatan dan imuniti badan.
  4. Ibu hendaklah sentiasa memastikan bahagian sulit sentiasa bersih dan kering terutama selepas mencuci bahagian kemaluan mahupun selepas mandi.
  5. Dinasihatkan tidak menyapu sebarang bahan pada bahagian luka tanpa nasihat doktor.
  6. Pemakanan yang seimbang dengan nutrisi yang lengkap dan minum air secukupnya menggalakkan penyembuhan yang pantas.
  7. Bagi kelahiran yang dimaklumkan kepada klinik kesihatan, Jururawat desa akan memeriksa luka dalam tempoh seminggu selepas kelahiran.
  8. Tanda luka telah sembuh adalah apabila ibu tidak lagi merasa pedih pada bahagian luka ketika mencuci bahagian sulit.
  9. Bagi ibu yang mengalami jangkitan pada luka, atau luka yang lambat sembuh atau sentiasa berair adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor untuk rawatan selanjutnya.
  10. Manakala, bagi ibu yang mengalami koyakan tahap 3 dan 4, lazimnya rawatan susulan di hospital pakar adalah dalam tempoh 2 hingga sebulan selepas kelahiran. Tanda luka perineum tidak mengalami komplikasi adalah apabila ibu masih mampu menahan kentut & pembuangan air besar.

Kecederaan Perineum (Koyakan) Ketika Proses Kelahiran

Statistik menunjukkan bahawa sekitar 90% wanita mengalami kecederaan perineum semasa bersalin; manakala segelintir wanita boleh mengalami kecederaan perineum yang lebih teruk yang boleh merosakkan otot dubur dan fungsi seksual.

Statistik yang dilaporkan oleh British Journal of Obstetrics & Ginekology yang menganalisis trend kecederaan perineum di semua hospital NHS di England menonjolkan kenaikan tiga kali ganda koyakan perineum tahap ketiga atau keempat, dengan kadar peningkatan dari 1.8% pada tahun 2000 kepada 5.9% pada tahun 2011 di kalangan ibu yang pertama kali melahirkan.

American Journal of Obstetrics and Gynecology, melaporkan wanita Asia lebih cenderung mengalami kecederaan perineum, dengan 2.5% daripadanya mengalami koyakan perineum tahap ketiga atau keempat

Malangnya, adalah sukar untuk meramal dan menghalang kemungkinan berlakunya kecederaan perineum kepada bakal ibu yang sedang melalui proses kelahiran.

Walau bagaimanapun, doktor perbidanan akan menimbangkan faktor risiko tertentu untuk menjangkakan kemungkinan berlakunya kecederaan perineum dan langkah-langkah merawat yang sewajarnya dapat di laksanakan.

Faktor/risiko tersebut termasuk sejarah mengalami koyakan vagina yang teruk, distosia bahu, ibu mengalami proses kelahiran pada fasa yang panjang, kelahiran pertama, jangkaan bayi dalam kandungan yang besar, kelahiran yang perlu dipaksa dengan ubat atas faktor kesihatan dan kelahiran secara vakum atau forsep.

Betul Ke Semua Ibu Mengandung Perlukan Episiotomi?

Episiotomi adalah kaedah memotong sedikit bahagian di antara faraj dan lubang dubur ketika kepala bayi mula keluar dari faraj.

Ia bagi mengurangkan risiko koyakan yang tidak terkawal pada faraj ketika bersalin. Kaedah menggunting atau memotong sedikit pada faraj ini dapat memudahkan laluan bayi.

Hospital kerajaan dan kebanyakan hospital swasta mengamalkan polisi ‘selective episiotomy’ atau ‘episiotomi selektif’ di mana hanya ibu yang mempunyai risiko seperti kelahiran songsang, kelahiran vakum atau forceps.

Namun, teknik ini bukanlah menjadi kemestian atau rutin setiap kali menyambut kelahiran bayi melainkan sebagai pilihan terakhir semata-mata.

 

Kenali Tahap Kecederaan Perineum Mak Bersalin

Koyakan tahap pertama : Koyakan melibatkan lapisan kulit sekitar vagina sahaja, atau lapisan luar perineum.

Koyakan tahap kedua : Koyakan melibatkan kulit sehingga lapisan mukosa vagina dan otot perineum.

Koyakan tahap ketiga : Melibat otot di bahagian dubur, ia perlu dijahit lapisan demi lapisan dan sekiranya tidak dijahit dengan sempurna, akan mendatangkan komplikasi yang serius

Terbahagi kepada koyakan tahap ketiga iaitu:

3a: Koyakan sebahagian daripada sfinkter luar dubur yang melibatkan ketebalan kurang daripada 50%.

3b: Koyakan sebahagian daripada sfinkter luar dubur yang melibatkan ketebalan lebih daripada 50%.

3c: Koyakan yang melibatkan sfinkter dalam dubur.

Koyakan tahap keempat : Melibatkan koyakan terus dari kulit perineum, mukosa vagina, otot, sfinkter dubur, sehingga ke mukosa rektum.

Rujukan : American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) & RCOG

 

Sudah Baca, Klik Like Dan Komen Dibawah Jika Tulisan Ini Bermanfaat. TQ – RencahRasa

(Visited 391 times, 1 visits today)