Cara Mudah Buat Kuih Badak Berendam. Lembut & Lemak Berkrim.

Kuih badak berendam merupakan antara kuih tradisional melayu yang sangat popular di Pantai timur. Kuih ini juga sering dijual di bazar-bazar ramadhan di seluruh tanah air. Rasanya yang sedap berlemak dan dilengkapi dengan inti kelapa yang juicy di dalamnya sungguh menyelerakan. Jom lihat resepi perkongsian dari Saudari Farisha Sofea ini. Sangat mudah!

RESEPI KUIH BADAK BERENDAM 

BAHAN-BAHANNYA :

Bahan Doh :
3 cawan tepung pulut
1 1/2 cawan air pandan

Bahan Inti :
1 1/2 cawan kelapa parut
1 cawan gula melaka / gula merah
1/4 cawan air
1 sb gula ( optional )
1 sb tepung gandum
daun pandan

Bahan Kuah :
2 cawan santan
1 cawan air
1 sb tepung jagung
daun pandan
garam dan gula secukupnya

Bahan Lain :
Air untuk merebus

CARA MEMASAK:
1. Satukan Bahan Doh, air mestilah dituang sedikit demi sedikit sambil diuli hingga adunan menjadi doh. Ketepikan seketika.

2. Untuk membuat inti, masak gula bersama air sehingga larut. Masukkan juga daun pandan. Kemudian tapiskan dan masak semula sehingga mendidih. Masukkan kelapa parut dan kacau sebati. Apabila inti hampir kering, masukkan tepung gandum dan kacau rata. Masak sehingga kering. Tutupkan api dan sejukkan seketika.

3. Ambil sedikit doh tadi, bulatkan dan leperkan. Letakkan inti di bahagian tengah dan tutup semula doh dengan kemas. Jadikan seperti bebola. Ulang sehingga habis.

4. Isikan air di dalam periuk dan masak sehingga mendidih.

5. Sementara itu kita sediakan pula Bahan Kuah. Satukan ke semua Bahan Kuah dan kacau sebati hingga tiada tepung yang berketul. Kemudian masak di atas dapur sehingga pekat. Tutupkan api.

6. Masukkan doh yang telah siap tadi ke dalam air yang telah mendidih. Masak sehingga doh timbul di permukaan. Angkat dan masukkan ke dalam Bahan Kuah.

***Boleh juga dimasukkan doh ke dalam air sejuk dulu, kemudian letakkan doh di dalam pinggan. Barulah dituang bahan kuah. Hidangkan di dalam pinggan, alaskan bersama daun pisang jika ada. Siap!

Kredit Resepi & Foto : Farisha Sofea

(Visited 485 times, 1 visits today)