Bahaya Pinggan Mangkuk Bercorak kepada Wanita & Bayi, Elak Guna Ketika Menghidang

Pinggan bercorak ini memang cantik malah harganya juga banyak yang murah. Sebab itu ramai yang teruja membelinya hingga ada banyak koleksi di rumah.

Dekat nak sambut raya ini, lagi lah ramai yang suka tambah koleksi. Tapi sebaiknya hentikan terutama jika di rumah ada wanita hamil dan juga kanak-kanak.

Ini kerana kebanyakan pinggan bercorak ini mempunyai logam plumbum (dalam penghasilannya dan berbahaya kepada dua golongan ini.

Pengguna dinasihatkan lebih berwaspada menggunakan pinggan mangkuk beraneka corak yang tular di media sosial kini, kata seorang pensyarah Universiti Malaya (UM).

Dr Nor Asrina Sairi berkata kebanyakan pinggan mangkuk yang mempunyai hiasan cantik ini mempunyai logam plumbum (lead) dalam penghasilannya.

“Bahaya untuk jangka masa panjang terutama untuk kanak-kanak, wanita hamil dan bayi, tapi bahayanya itu bukanlah secara terus atau langsung.

“Ia lebih kepada kuantiti yang sedikit, tapi kalau kita kerap guna dan untuk jangka masa lama, ia akan beri kesan kepada kesihatan,” katanya kepada mStar Online.

Pinggan mangkuk dengan hiasan menarik itu kini tular di media sosial dan boleh didapati serendah 50 sen di Pasar Seni dan beberapa lokasi lain.

Pensyarah kanan Jabatan Kimia UM itu berkata pinggan mangkuk berkenaan lebih sesuai dijadikan koleksi hiasan.

Katanya, plumbum yang terlekat di pinggan berkenaan akan mudah terhakis apabila terdedah kepada suhu panas.

“Saya cadangkan pengguna gunakannya untuk perhiasan atau koleksi, elakkan guna untuk hidang makanan harian.

“Kalau warna atau sadurannya di luar, itu OK lagi, tapi bila sekarang trend baru di bahagian dalam pun disalut, itu yang kita agak khuatir,” beliau dilaporkan berkata.

Sumber: Malay Mail Online & Public Health Malaysia

The post Bahaya Pinggan Mangkuk Bercorak kepada Wanita & Bayi, Elak Guna Ketika Menghidang appeared first on Vanilla Kismis.

(Visited 7 times, 1 visits today)