7 Punca Gegata Pada Anak & Cara Betul Nak Hilangkannya. Bukan Sebab Dijilat Jin!

Eh asyik tergaru-garu je si adik ni dari tadi. Makin besar dah pulak tempat gatalnya… Nampak macam gegata. Apa punca gegata ni sebenarnya? Gigitan serangga, alergi tersilap makan atau habuk?

Makin digaru semakin membesar dan mula bengkak. Daripada bintat, boleh bertukar menjadi peta merebak satu badan… Gatalnya bukan main lagi!

Memang stres bila terkena serangan gegata ni, dan kasihan bila anak-anak kecil yang kena. Asyik mengadu gatal dan tentu rasa tak selesa.

Tapi pernahkah kita terfikir apa sebenarnya gegata ni dan apa punca gegata boleh terjadi?

Jom ketahui lebih lanjut melalui artikel ini.

7 Perkara Tentang Gegata Pada Anak, Punca & Cara Mengatasinya

1. Apakah Gegata?

Dalam masyarakat kita di Malaysia, gegata juga dikenali sebagai sopak garam, kelopak garam, dan ‘ludah jin’.

Namun dalam terma perubatan, gegata dikenali sebagai urticaria atau hives dalam bahasa Inggeris.

Gegata boleh timbul secara tiba-tiba, di mana kulit boleh ber’bintat’ seakan akan gigitan nyamuk dan terasa amat gatal.

Menurut Medical Mythbuster Malaysia, punca gegata ini terjadi adalah apabila tubuh kita merembeskan histamin dan beberapa bahan lain menyebabkan cecair dibocorkan dari saluran darah ke lapisan dermis kulit.

Faktor ini membawa kepada kebengkakan kulit dan kegatalan yang melampau.

Dalam kebanyakan kes, biasanya gegata ini akan hilang selepas 24-48 jam dan ia tidaklah serius.

2. Jenis Gegata

Menurut portal MyHealth, terdapat 2 jenis gegata (urtikaria) iaitu

  • Urtikaria akut – jika ia terjadi secara tiba-tiba dan berterusan kurang daripada 6 minggu. Kebanyakan gegata akan hilang selepas 24-48 jam. Urtikaria akut boleh berulang pada sesetengah orang orang.
  • Urtikaria kronik – jika ia berterusan lebih lama daripada 6 minggu. (Kronik bermakna berterusan dan berpanjangan)

3. Punca Gegata

Gegata berlaku apabila tubuh anda bertindak balas terhadap alergen (alahan) dan melepaskan histamin atau bahan kimia lain dari bawah permukaan kulit.

Terdapat beberapa makanan, aktiviti dan perkara perkara tertentu yang boleh menyebabkan punca gegata (urtikaria).

  • Alahan Makanan – seperti alahan kepada kacang, strawberi, buah-buahan sitrus, telur, bahan tambahan makanan, rempah, coklat, atau kerang. Kadang-kadang anda boleh mendapat alahan kepada makanan walaupun anda telah makan makanan tersebut tanpa sebarang masalah banyak kali sebelum ini.
  • Alahan Serangga – kepada gigitan serangga dan penyengat.
  • Alahan Ubat – Alahan kepada ubat-ubatan seperti penisilin, aspirin, ubat penahan sakit,anti-radang, dan lain-lain.
  • Jangkitan Virus – Jangkitan virus yang ringan seperti selsema boleh mencetuskan ruam urtikaria pada sesetengah orang. (Anda bertindak balas terhadap virus.)
  • Sentuhan kulit – Sentuhan kulit dengan sensitiser menyebabkan urtikaria setempat pada sesetengah orang. Contoh sensitiser termasuk bahan kimia, minyak wangi, getah, kosmetik, tumbuh-tumbuhan, ‘ointment’, sengat, dan lain-lain.
  • Dermographism – Urtikaria fizikal adalah keadaan di mana ruam setempat timbul apabila kulit dirangsang secara fizikal. Pembentukan ruam di kawasan kulit yang telah diusap dipanggil ‘Dermographism’.
  • Tidak Diketahui – Untuk penyakit gegata yang kronik, hampir 90% tidak diketahui pencetusnya. Situasi tersebut digelar ‘spontaneous urticaria’.

Contoh Pembentukan ruam di kawasan kulit yang telah diusap dipanggil ‘Dermographism’ / Foto Kredit: MedicalNewsToday

4. Adakah Gegata Boleh Berjangkit?

Tidak.

Gegata tidak berjangkit melalui sentuhan.

Sebaliknya gegata bersifat ‘migratory’, maksudnya tompok-tompok gatal tersebut berpindah randah dari satu bahagian tubuh ke satu bahagian lain.

Ia biasanya merebak dari satu bahagian ke bahagian lain, tidak lebih daripada 24 jam, serta hilang tanpa sebarang parut.

Tapi sekiranya gegata yang pesakit alami tidak memenuhi kriteria-kriteria di atas (tidak berpindah, lebih 24 jam di satu-satu tempat, berparut) maka penyakit lain seperti ‘urticarial vasculitis’ akan disyaki dan kemungkinan penyiasatan lanjut termasuk biopsy kulit perlu dilakukan.

[Baca juga : Rupanya Inilah ‘Kamitetep Beracun’ Melekat Di Dinding Rumah, Boleh Gatal Satu Badan!]

5. Kenapa Kanak-kanak Mudah Terkena Gegata?

Mereka yang sememangnya diketahui mempunyai alahan lebih cenderung mendapat gegata, ini termasuklah kanak-kanak.

Menurut statistik, lebih 25% kanak-kanak pernah mengalaminya sekurang-kurangnya sekali.

Sekiranya si anak mudah mengalami jangkitan atau sememangnya sedang mengalami masalah kesihatan, maka kemungkinan untuk terkena jangkitan gegata adalah lebih tinggi.

Foto kredit: gettyimages.de

6. Cara Menghilangkan Gegata Ringan Di Rumah

Ada perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan rasa tidak selesa. Memang kasihan terutamanya bila anak kecil diserang gegata.

Apabila diserang gegata, antara langkah yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

  • Elakkan menggaru gatal-gatal
  • Sapukan krim anti-gatal
  • Tutup kawasan jangkitan dengan kain sejuk
  • Pakai pakaian yang longgar

7. Rawatan Gegata, Ubat-ubatan & Tanda Bahaya

Rawatan / ubat-ubatan yang dipreskripsikan untuk mengatasi gegata termasuklah:

  • Ada banyak jenis ubat antihistamine di hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan seperti Loratadine, Pitiron, Cetirizine (zyrtec), Desloratadine (Aerius).
  • Kanak-kanak berumur di bawah dua tahun yang mengalami gegata perlu berjumpa doktor kanak-kanak (paediatrik) sebelum mengambil ubat antihistamin.
  • Kes gatal yang teruk boleh menyebabkan pembengkakan di tekak dan muka. Ini menyukarkan pernafasan atau menelan. Hubungi pakar perubatan kerana terdapat suntikan yang boleh membantu menghentikan gejala.

Sekiranya anak-anak mempunyai alahan dan ibu bapa tahu bahan mana yang cenderung menyebabkan reaksi alergi, lazimnya doktor anda akan mencadangkan agar anak-anak tidak terdedah kepada faktor-faktor tersebut.

Sekiranya gegata asyik berulang dan anda terkena gegata yang kronik, doktor akan mengambil ujian darah untuk memastikan tiada penyakit lain yang menyebabkan gegata tersebut.

Ubat antihistamine akan diberikan selagi gegata itu masih ada, dan ubat akan dikurangkan atau ditambah dos sesuai dengan keadaan penyakit pada setiap temujanji.

Serangan Gegata Boleh Merbahaya Jika…

Sekiranya gegata disusuli dengan pembengkakan mulut atau mata, sesak nafas atau perubahan suara, anak perlu segera dibawa ke hospital kerana itu menunjukkan bahawa pembengkakan juga berlaku di bahagian dalam badan dan mungkin juga menutup salur pernafasan.

Jadi ibu ayah kena alert dengan tanda bahaya ini dan dapatkan rawatan yang sebetulnya untuk anak-anak jika mereka terkena serangan gegata.

Ingat, ini bukannya sebab terkena jilatan jin atau apa-apa perkara mistik ya!

[Baca juga : 9 Cara Semulajadi Hilangkan ‘Blackhead’ & ‘Whitehead’ Pada Wajah]

(Visited 1 times, 1 visits today)