10 Aktiviti Yang Wajib Dilakukan Sehari Sebelum Sambut Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan yang ditunggu tunggu saban tahun. Ini kerana ketika inilah saudara mara berkunjung menziarah satu sama lain. Tetapi pada tahun ini, Aidilfitri disambut dalam keadaan yang berbeza berikutan adanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Disebabkan perkara itu, ramai ahli keluarga yang terkandas di perantauan atau di rumah masing-masing.

Walaubagaimanapun, sambutan raya itu tetap dirasai malam raya dengan segala persiapan yang dilakukan, tidak kira beraya dikampung ataupun bandar. Cara sambutan yang berlainan itu membuatkan sambutan raya itu lebih meriah. Pelbagai perkara dilakukan sehari sebelum tibanya Syawal, mari kita lihat apa aktiviti yang sering dilakukan oleh setiap orang untuk menyambut hari raya Aidilfitri.

Aktiviti Sehari Sebelum Raya Aidilfitri

1. Cuci Mata Di Bazaar Ramadhan

Selain membeli juadah berbuka puasa di hari terakhir puasa, ada juga yang berkunjung ke bazaar untuk mencari juadah raya seperti lemang dan dodol. Ini juga kerana sesetengah tidak mampu untuk membuat lemang dan dodol dengan sendiri maka mereka akan membeli yang sudah siap dijual.

2. Membeli-belah Di Saat Akhir

Kebiasaannya ketika ini, pasti kaum wanita yang sering merasakan ada perkara atau barang yang masih tidak cukup. Selain itu, pastinya ada juga yang menggunakan peluang akhir ini untuk membeli pakaian raya dengan alasan membeli di malam raya lebih memberikan feel raya itu. Tetapi ketika ini jugalah banyak diskaun yang dibuat oleh butik butik pakaian!

3. Masak Hidangan Raya

Kebiasaannya aktiviti yang dilakukan ketika ini ialah memasak juadah hidangan raya seperti memasak rendang, memasak ketupat dan pelbagai lagi. Waktu ini juga lah boleh kita lihat semua ahli keluarga berkumpul menolong bersama. Semakin besar keluarga semakin banyak juadah yang disediakan.

4. Membersihkan Halaman Rumah

Selain dalaman rumah yang kena bersih, kawasan halaman rumah juga perlulah bersih selari dengan dalaman rumah. Bagi yang pulang ke kampung, masa ini juga lah akan menjadi satu momen kerana pastinya ahli keluarga akan bersatu bersama membersihkan kawasan rumah, manakan tidak selalunya rumah kampung pasti mempunya kawasan halaman yang besar!

5. Memasang Langsir Baru Dan Menghias Dalaman Rumah

Ketika waktu ini juga lah boleh kita saksikan kesungguhan kaum bapa ataupun anak anak lelaki di mana mereka dikerah oleh ibu untuk menukar langsir kepada yang baru. Bagi kaum ibu pula, ada yang menggunakan waktu ini menghias dalaman rumah mereka terutamanya di kawasan ruang tamu dan ruang makan.

6. Gosok Baju Raya

Aktiviti inilah yang paling digemari sekali! Ibu ibu semestinya penat ketika ini kerana perlu menggosok baju dari baju bapa sehinggalah baju anak anak. Bayangkan sahajalah kalau seorang anak ada 2 pasang baju dan anda ada 3 orang anak. Tak ke 6 pasang baju kena gosok. Belum masuk lagi yang dikampung dimana perlu berkongsi iron. Mahu sampai 3 4 pagi baru siap semuanya!

7. Masukkan Kuih Raya Dalam Balang

Setelah selesai memasak juadah untuk raya, tiba masa untuk masukkan biskut raya didalam balang. Ketika ini juga pasti ada yang songlap terlebih dahulu 2 3 biji biskut raya sambil memasukkan biskut itu. Kanak kanak adalah yang paling suka lakukan perkara ini. Juga kaum ibu mula membersihkan dan menyusun pinggan mangkuk yang hendak dihidangkan pada hari raya.

8. Bermain Mercun Dan Bunga Api

Kemeriahan malam raya lebih dirasai dengan dentuman mercun dan nyalaan bunga api yang dimain ketika ini. Bukan sahaja kanak kanak yang bermain malah kaum bapa dan mereka yang dewasa pun pasti akan main bersama! Pasti bingit tetapi itulah yang akan memeriahkan lagi suasana malam raya!

9. Masukkan Duit Raya Dalam Sampul

Haaaa ini adalah perkara wajib juga dilakukan! Masukkan duit raya ini paling disukai oleh semua terutamanya kanak kanak. Bila cakap je pasal duit raya pasti mereka yang paling teruja. Bagi sesetengah orang duit raya diasingkan awal awal mengikut umur untuk agihan yang akan dilakukan keesokannya.

10. Takbir Raya

Ini adalah perkara paling wajib pada malam raya. Tanpa takbir raya tidak akan rasa seperti mahu beraya. Takbir raya juga dilaungkan bagi mengagungkan Allah SWT dan juga sebagai tanda memanjatkan kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan-Nya.

(Visited 1 times, 1 visits today)